11 Pekara Menarik Pada iPhone 11, 11 Pro Dan 11 Pro Max

by Oh! Semput


5
SHARES
61
VIEWS
Posted on 12 Sep 2019 17:03:00

Acara Apple Special Event 2019 baru sahaja selesai awal minggu ini dengan pelancaran beberapa produk dan perkhidmatan baharu. Tetapi kami yakin bagi kebanyakan pembaca di Amanz pengumuman iPhone 11 ialah yang paling menarik perhatian kerana ia adalah produk yang menjana pendapatan tertinggi Apple sejak sedekad yang lalu. Pasti ramai yang tertanya-tanya adalah ia berbaloi dan memerlukan alasan untuk menaiktaraf telefon pintar yang digunakan sekarang. Berikut ialah 11 perkara paling menarik pada hemat kami pada iPhone 11, 11 Pro dan 11 Pro Max.

1.Pemproses Paling Berkuasa Pada Telefon Pintar

Walaupun sudah lebih setahun dilancarkan, cip A12 Bionic yang digunakan pada iPhone XS, XS Max dan XR masih lagi lebih berkuasa berbanding cip yang ditawarkan pada kesemua peranti Android 2019. Namun begitu Apple merasakan penambahbaikan perlu dilakukan dan hasilnya ialah A13 Bionic yang menunjukkan peningkatan sehingga 20% pada kemampuan CPU dan GPU berbanding A12 Bionic. Sungguhpun begitu ia mampu memberikan penjimatan penggunaan kuasa sehingga 40%.

Dengan kuasa tambahan ini pemprosesan imej dapat dilakukan dengan lebih pantas dan permua dapat dimainkan pada tetapan tertinggi. Dengan A13 Bionic mengekalkan dominasi sebagai pengeluar telefon pintar paling berkuasa untuk dua tahun berturut-turut. Kita hanya mampu melihat sama ada Kirin, Exynos dan Snapdragon untuk peranti 2020 akan dapat memberikan saingan kepada A13 Bionic.

2.Pengecas Pantas Disertakan

Pengecas pantas 18W dengan port USB-C akhirnya disertakan dengan setiap pembelian iPhone 11 Pro Max dan 11 Pro. Ini mengurangkan kekecewaan tahun lalu kerana pengecas pantas dijual pada yang agak mahal RM149 di Malaysia. Dengan kepala USB-C juga, pengguna MacBook generasi terkini akhirnya boleh menyambungkan iPhone kepada komputer riba mereka tanpa penyesuai.

Berita malang bagi mereka yang bercadang membeli iPhone 11 ialah Apple hanya menyertakan sebuah pengecas 5W dengan pembelian. Adalah tidak masuk akal peranti yang dijual pada harga bermula RM3399 tidak hadir dengan pengecas pantas di dalam kotak. Kami amat berharap sekurang-kurangnya pengecas 10W disertakan kerana ia disertakan sebagai standard pada telefon kelas permulaan Android yang dijual pada harga bawah RM700.

3.Bateri Bertahan Lebih Lama

Pengecas pantas akhirnya disertakan sekali dengan peningkatan kemampuan bateri. Hayat bateri meningkat sehingga sejam pada iPhone 11, empat jam pada iPhone 11 Pro dan lima jam pada iPhone 11 Pro Max. Ini memberikan petanda kemungkinan kapasiti bateri yang lebih besar digunakan pada dua model Pro tahun ini. Ketahanan bateri iPhone XS Max tahun lalu adalah baik tetapi masih di belakang Galaxy S10+.

Malahan boleh kami katakan majoriti  iPhone mempunyai reputasi tidak mempunyai ketahanan bateri yang baik. Hanya iPhone XR mampu bertahan kerana saiz bateri yang besar dipadankan dengan resolusi skrin yang lebih rendah berbanding iPhone XS dan XS Max. Juara ketahanan bateri di makmal Amanz setakat ini ialah Note 10. Kami ingin melihat sendiri sama ada janji Apple akan ditepati ataupun tidak kelak.

4.Mod Malam

Mod malam pada peranti Pixel dan Huawei adalah yang terbaik di pasaran pada waktu ini. Kedua-duanya menggunakan kecerdasan buatan bagi mengambil gambar yang terang di dalam keadaan yang amat gelap. Apple menamakan sistem mereka Deep Fusion yang menggabungkan beberapa gambar bagi menghasilkan sekeping gambar yang sempurna.

Beberapa bulan yang lalu kami ada melakukan perbandingan gambar yang diambil menggunakan iPhone  XS Max pada waktu malam adalah yang paling teruk jika dibandingkan dengan Pixel 3a XL, Galaxy S10+ dan P30 Pro. Kami akan melakukan ujian yang sama dengan menggunakan iPhone 11 Pro sejurus selepas ia dipasarkan di Malaysia bagi melihat sama ada sistem Apple akhirnya dapat bersaing dengan sistem pada peranti pesaing.

5.Lensa Sudut Ultra Lebar

Apple menanti selama tiga tahun sebelum memperkenalkan lensa sudut ultra lebar pada iPhone. Ini hanya berlaku selepas Huawei berjaya menunjukkan lensa ini adalah perlu disertakan pada peranti mercu. Apa yang dilakukan Huawei menerusi Mate 20 Pro harus diberikan pujian kerana LG G5, peranti pertama dengan lensa sudut ultra lebar gagal mendapat perhatian pengguna tiga tahun lalu.

Walaupun lewat memperkenalkan fungsi ini, Apple masih mampu memperkenalkan inovasi cara mod ultra sudut lebar diaktifkan. Ketika lensa sudut lebar biasa digunakan, sebahagian pandangan dari lensa sudut ultra lebar dapat dilihat pada skrin aplikasi kamera. Ini memudahkan proses visualisasi gambar yang  boleh diambil menggunakan lensa sudut ultra lebar.

Bagi yang berminat lensa sudut lebar iPhone 11 memberikan pemandangan 120° sama seperti pada P30 Pro. Lensa sudut ultra lebar Note 10 dan S10 pula memberikan pemandangan 123°.

6.Kamera Swafoto Gerak Perlahan Dan 4K 60FPS

Kamera hadapan iPhone 11 Pro Max, 11 Pro dan 11 kesemuanya mampu merakam swavideo pada tetapan 4K 60FPS. Ini menjadikannya peranti terawal yang menyokong format rakaman yang tinggi ini. Asus Zenfone 6 turut boleh melakukannya tetapi dengan menggunakan kamera belakang yang berputar ke depan. Selain itu ketiga-tiga iPhone 11 turut boleh melakukan mod rakaman video gerak perlahan pada kamera hadapan yang diberi nama Slofie. Ini mungkin sebuah lagi gimik jualan sama seperti Animoji suatu ketika dahulu. Hanya masa akan menentukan sama ada Slofie akan menjadi ikutan ramai selepas dipopularkan oleh Apple.

7.QuickTake

Menerusi QuickTake, Apple menyelesaikan satu masalah yang kami yakin pernah dilalui oleh kesemua pengguna telefon pintar. Apabila video ingin diambil, mod kamera perlu ditukar yang menyebabkan beberapa saat penting terlepas sebelum sempat dirakam. Dengan menekan butang kamera di dalam mod fotografi, aplikasi akan terus melakukan rakaman video.

Kemudian pengguna hanya perlu menatal ke kanan untuk meneruskan rakaman tanpa perlu mengekalkan jari pada butang. Untuk menggunakan mod burst pula. pengguna hanya perlu menatal ke kiri. Jangan terkejut sekiranya fungsi QuickTake ini akan muncul pada peranti lain dalam masa terdekat.

8.Audio Spatial

Sokongan audio spatial jarang sekali ditemui pada peranti pintar. Kali pertama kami menyedari kewujudannya ialah semasa Nokia 8 dilancarkan dua tahun yang lalu namun kami yakin ramai tidak menyedari audio tiga dimensi ini disokong pada peranti ini. Seperti biasa Apple tidak perlu menjadi yang pertama tetapi hanya perlu menjadi yang terbaik dalam mengimplementasikan teknologi ini dan mempakejnya semula kepada pengguna.

Sistem audio spatial ini menggunakan teknologi Dolby Atmos yang juga boleh ditemui pada peranti mercu Samsung. Sokongannya sudah lama dinantikan sejak iTunes mula menawarkan audio Dolby Atmos pada filem-filem yang dijual. Kini pengguna iPhone 11 akhirnya mempunyai peranti mudah alih yang boleh memainkan Dolby Atmos.

9.Face ID Dipertingkatkan

Face ID kini berfungsi 30% lebih pantas berbanding yang digunakan pada iPhone dan iPad generasi terdahulu. Penggunaan  sensor kamera TrueDepth yang lebih besar membolehkan wajah pengguna dikesan lebih awal tanpa peranti perlu dipegang pada posisi menegak bagi mengaktifkan Face ID.

Di dalam dua iklan yang diperlihatkan pagi tadi ia turut memberikan bayangan bahawa peranti boleh dinyahkunci walaupun jika ia diletakkan rata di atas permukaan meja. Kami tidak tahu sama ada ini adalah fungsi yang akan disokong kerana ketika pelancaran iPhone X dua tahun yang lalu fungsi yang sama diperlihatkan di dalam iklan tetapi umum diketahui sekarang ini tidak boleh dilakukan.

10. AirDrop Yang Mengenal Arah Ia Dihala

AirDrop ialah fungsi perkongsian fail yang pantas dan mudah digunakan pada kesemua produk keluaran Apple. Ia adalah antara sebab mengapa ramai pengguna iPhone memilih untuk terus menggunakan peranti ini walaupun ia dijual pada harga yang mahal berbanding peranti lain di pasaran. Pada ketiga-tiga iPhone 11, AirDrop ditambah baik dengan kemampuan mengesan arah peranti dihala menerusi cip U1.

Jika anda ingin menghantar fail ke individu di hadapan anda, nama mereka akan menjadi pilihan pertama di dalam menu AirDrop. Sebelum ini AirDrop mengesan kesemua peranti yang boleh menerima fail dan di dalam pejabat kami yang dipenuhi puluhan peranti Apple ini boleh mengakibatkan berlakunya kekeliruan.

11. Sokongan WiFi 6

Telefon pintar akan hanya terus pintar sekiranya ia disambung kepada rangkaian Internet yang pantas. Pada iPhone 11, ia akhirnya menyokong sambungan Wifi 6 (IEEE 802.11ax), yang membolehkan ia menikmati kelajuan muat turun sehingga 1,3 GBps. Ini meletakkannya sebaris dengan Galaxy S1o dan Note 1o yang merupakan peranti-peranti terawal menyokong format sambungan WiFi terkini ini. Tetapi harus kami nyatakan untuk menikmati kelajuan Internet yang tinggi ini anda perlu terlebih dahulu mempunyai sambungan Internet ada pantas dan router yang menyokongnya terlebih dahulu.

Jadi ini adalah senarai 11 perkara paling menarik yang diperkenalkan oleh Apple pada iPhone 11, 11 Pro dan 11 Pro Max. Adakah ia akan menjadi alasan kukuh untuk anda membelinya di Malaysia bermula 27 September hadapan? Kongsi pendapat anda di bawah.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts