by Oh! Semput
KUANTAN: Kerajaan Pahang disaran mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah di Raub, termasuk pembekuan aset penceroboh untuk memulangkan hasil yang diterima secara haram kepada kerajaan negeri.
Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, langkah tersebut penting sebagai ganti rugi atas kehilangan hasil kerajaan negeri akibat penerokaan haram yang berlaku sejak empat dekad lalu.
“Bila aset penceroboh dibekukan, hasil daripada pembekuan dan duit berjuta-juta dalam akaun mereka dapat dipulangkan kembali kepada kerajaan negeri.
“Pencerobohan ini patut didakwa di bawah Akta 828 Kanun Tanah Negara, harta benda ditahan, aset dibekukan dan kerajaan rugi berjuta-juta sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Khamis, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terkejut dengan jumlah tanah kerajaan yang diteroka secara haram seluas 10,521 hektar untuk penanaman durian di daerah Raub.
Baginda bertitah demikian selepas mencemar duli, diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meninjau kawasan penguatkuasaan melibatkan penebangan pokok durian musang king di Batu Tiga Sungai Ruan-Sungai Klau, Raub.
Mohd Shukri menegaskan Kerajaan Pahang juga perlu bertindak adil kerana rakyat yang mengusahakan tanah kecil sering dikenakan tindakan sedangkan penceroboh besar seolah-olah diberi layanan istimewa.
“Jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas, ia akan menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat terhadap integriti dan keadilan yang sepatutnya ditegakkan,” ujarnya.
Selain itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat secara menyeluruh isu tersebut kerana terdapat kebimbangan mengenai salah guna kuasa dan campur tangan pihak tertentu.
“Pendakwaan adalah jalan terbaik untuk mengembalikan maruah pentadbiran negeri dan hak rakyat yang terabai sejak sekian lama,” tambah Mohd Shukri.
Mengulas mengenai tinjauan Al-Sultan Abdullah, beliau menghargai kesediaan baginda bersama Tengku Hassanal dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turun padang untuk melihat keadaan sebenar di lapangan.
“Terima kasih kepada Tuanku kerana sudi turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar tanpa bergantung kepada laporan sahaja.
"Kehadiran Tuanku secara langsung memberi gambaran yang lebih jelas mengenai situasi dihadapi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Wan Rosdy yang berindak proakstif dalam menangani masalah tersebut. #SinarHarian