by Oh! Semput
Semua anggota kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) diseru untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pasukan simpanan dan sukarela.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anggota PALAPES dapat menyumbang bakti kepada pertahanan negara selain didedahkan dengan pelbagai pengalaman yang menarik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Executive Lecture Defence Minister bersama anggota kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim hari ini.
Program itu adalah anjuran bersama Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dan Markas Angkatan Tentera Malaysia – Bahagian Mobilisasi Angkatan Simpanan (MATM-BMAS) sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Ke-42 yang akan diadakan pada 21 September ini.
Mohamed Khaled berkata, beliau menghargai penyertaan anggota dalam PALAPES sekali gus berharap mereka akan meneruskan minat dan komitmen dalam ATM sebagai pasukan simpanan atau sukarela.
Sementara itu, beliau berkongsi bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang melaksanakan beberapa agenda besar yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang.
Artikel lain: MINDEF lancar Program e-Perkasa SPM YLTAT bersama UPSI bagi perkasa pendidikan anak ATM
Malah, Naib Presiden UMNO itu juga memaklumkan Kementerian sedang menyemak semula proses, syarat serta rejim latihan yang diguna pakai untuk merekrut anggota-anggota simpanan dan sukarela ATM.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan Upacara Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) kepada Naib Canselor Universiti Malaya; Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohamad Sadullah; Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit dan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain, pengurusan tertinggi, pegawai-pegawai kanan serta warga ATM.