Lima anggota polis 'kantoi' di pusat hiburan direman 

by Oh! Semput


HOME Posted on 15 Jun 2019 02:03:06


DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

14 Jun 2019 3:17 PM

MELAKA - Lima anggota polis direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memiliki dan mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di sini semalam.

Perintah reman sehingga 16 Jun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd. Anuar Ostadi terhadap kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 34 tahun.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kelima-lima suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan memakai baju-T dan berseluar jean.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kesemua anggota itu ditahan oleh Pasukan Risik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Melaka Tengah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Merdeka di sini semalam.

Katanya, serbuan tersebut telah dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi dan pemeriksaan di sebuah bilik karaoke di pusat hiburan tersebut menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah ketamin.

"Barang kes dan tujuh orang suspek di dalam bilik tersebut termasuk lima daripada mereka yang merupakan anggota polis telah dibawa ke Pejabat BSJND Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

"Ujian saringan awal dadah dalam air kencing terhadap suspek dilakukan dan enam orang daripada mereka didapati positif dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, empat anggota polis yang ditahan bertugas di Melaka manakala seorang lagi berkhidmat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Saya memandang serius kes ini dan kami menganggap kejadian ini amat mendukacitakan kerana sebagai anggota penguat kuasa mereka sepatutnya bebas daripada kesalahan jenayah, salah laku serta penagihan dadah.

"Sehubungan itu, saya berharap kejadian ini dijadikan iktibar dan pengajaran kepada anggota serta pegawai polis lain untuk tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya. - K! ONLINE

's

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...