by Oh! Semput
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mohon maaf secara terbuka kepada ahli dan perwakilan parti kerana tidak dapat memberi sepenuh komitmen terhadap urusan parti sejak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Memetik laporan dari Sinar Harian, Anwar menjelaskan bahawa hampir tiga tahun mentadbir negara menuntut sepenuh perhatiannya terhadap urusan kerajaan dan kepentingan rakyat, menyebabkan masa untuk aktiviti serta pentadbiran parti menjadi agak terhad.
Susulan daripada itu, beliau menyatakan akan mencuba sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk fokus kepada urusan parti bermula Jun nanti.
Artikel lain: “Nak jadi pemimpin boleh, tapi jangan kaut kekayaan negara” – PM Anwar
Perkara tersebut diumumkan Anwar dalam ucapannya ketika merasmikan Kongres Nasional Keadilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada Jumaat.
Kenyataan itu turut dilihat sebagai isyarat komitmen beliau untuk kembali memperkukuh jentera parti dari dalam, terutama ketika PKR bersiap menghadapi cabaran politik semasa dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).