by Oh! Semput
ASUS dengan kerjasama Qualcomm telah melancarkan ASUS Ascent QN10, sekali gus melakar sejarah sebagai komputer mini-PC AI pertama di dunia yang dikuasakan oleh platform Snapdragon X2 Elite.
Pengenalan ini menandakan perluasan penting bagi cip siri Snapdragon X yang sebelum ini hanya memfokuskan kepada komputer riba Windows, kini dibawa masuk ke dalam segmen desktop kompak untuk menawarkan prestasi bertaraf premium.

Menariknya, ASUS Ascent QN10 hadir dengan reka bentuk kerangka ultra-kecil berkapasiti di bawah 0.7L, iaitu 86% lebih kompak berbanding standard saiz fizikal komputer mini-PC 5L biasa.
Di sebalik saiznya yang menjimatkan ruang meja, peranti ini dijana oleh SoC Snapdragon X2 Elite yang memuatkan pemproses 18-teras serta unit pemprosesan grafik (GPU) bersepadu Adreno X2.

Untuk menyokong tugasan multi-tugas yang intensif dan pantas, mini-PC ini dilengkapi sokongan memori LPDDR5x berkelajuan 9600 MHz sehingga 32GB yang menawarkan prestasi 20% lebih laju dengan penjimatan tenaga sebanyak 50%.
Sebagai sebuah PC berstatus “AI-native”, kelebihan utama Ascent QN10 terletak pada integrasi NPU Hexagon yang mampu menghasilkan kuasa pemprosesan AI mencecah 80 TOPS.
Kuasa penanda aras ini membolehkan pembangun perisian serta pengguna profesional mengendalikan model bahasa raya (LLM) secara luar talian, di samping menjalankan ejen kecerdasan buatan tempatan seperti OpenClaw dan Hermes secara selamat.
Bagi pembangun, peranti ini turut memberikan akses terus ke laman Qualcomm AI Hub untuk memuat turun model sedia ada serta melakukan penyesuaian melalui Workbench.
Dari aspek ketersambungan, peranti ini menyediakan sistem keselamatan gred perusahaan melalui Unit Pemprosesan Selamat (SPU) Qualcomm yang menyokong Microsoft Pluton.
Untuk produktiviti maksimum, ia dilengkapi capaian rangkaian Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, 1 port HDMI, serta 7 konfigurasi port USB (termasuk 3x USB4) yang mampu menyokong penyusunan sehingga empat monitor beresolusi 4K secara serentak.
{suggest}
ASUS Ascent QN10 – Mini-PC Pertama Dunia Dengan Snapdragon X2 Elite Dan NPU 80 TOPS WISER.MY.