Aubameyang Wira Arsenal Julang Piala FA 2019/20

by Oh! Semput


HOME Posted on 02 Aug 2020 12:03:56



Dua jaringan dihasilkan Pierre-Emerick Aubameyang membantu Arsenal menjulang trofi Piala FA 2019/20 selepas berjaya menundukkan Chelsea 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Wembley, sebentar tadi.

Pertembungan dua kelab London itu bermula dengan cukup baik apabila Chelsea memperoleh peluang terbaik seawal minit keempat selepas rembatan padu Mason Mount dari luar kawasan penalti berjaya ditepis penjaga gol, Emiliano Martinez.

The Blues berjaya membuka tirai jaringan berselang seminit kemudian apabila gerakan pantas yang dimulakan Christian Pulisic turut disudahkan dengan tenang pemain kelahiran Amerika Syarikat itu setelah beliau mendapat umpanan daripada Olivier Giroud.

Jaringan tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat juang anak buah Frank Lampard itu untuk menambah jaringan kedua.

Gol kedua Chelsea hampir menjelma pada minit ke-10 apabila Pulisic melakukan gerakan solo dan kemudiannya meledakkan rembatan ke arah gawang Arsenal. Martinez bagaimanapun bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan berbahaya tersebut.

Tersentak dengan aksi kemas yang ditampilkan Chelsea, para pemain Arsenal kembali memperkemaskan corak permainan untuk mereka pula menghadirkan beberapa ancaman berbahaya.

Nicolas Pepe berjaya menjaringkan gol menarik pada minit ke-25 tetapi beliau kecewa apabila Ainsley-Maitland Niles yang mendapat bola sebelum Pepe melepaskan rembatan tersebut terlebih dahulu dikesan ofsaid.

Kekecewaan itu ditebus pada minit ke-28 setelah ketua pasukan, Aubameyang menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Cesar Azpilicueta terhadapnya dalam kawasan penalti bagi kembali menyamakan kedudukan.

Malang menimpa Chelsea selepas itu apabila terpaksa melupakan khidmat Azpilicueta dan Pulisic yang mengalami kecederaan hamstring pada minit ke-35 dan 49. Kedua-dua pemain itu digantikan dengan Andreas Christensen dan Pedro.

Aubameyang sekali lagi membuktikan ketenangannya di minit ke-68 apabila beliau bijak memperdayakan Kurt Zouma lalu membuat percubaan lambung yang mudah menewaskan penjaga gol, Wilfredo Caballero untuk memberikan kelebihan 2-1 buat Arsenal.

Chelsea semakin terdesak pada minit ke-73 setelah Matteo Kovacic dilayangkan kad merah susulan kad kuning kedua yang diterimanya.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan trofi Piala FA ke-14 buat Arsenal sejak pertama kali memenanginya pada musim 1929/30.

Kejayaan ini juga pasti menjadi detik yang cukup baik buat Mikel Arteta yang mula membimbing The Gunners pada 20 Disember 2019 sekaligus membawa mereka ke kempen Liga Europa musim hadapan.

Kredit featured image: Arsenal

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...