Bakti 3 sahabat

by Oh! Semput


HOME Posted on 20 Jan 2018 04:00:44



MEREKA boleh memilih berehat di rumah tetapi tiga wanita secara sukarela menjaga kenderaan jemaah solat Jumaat di daerah Yan setiap minggu demi memastikan tiada kes kecurian berlaku.

Pengorbanan mereka yang juga ahli Skuad Elit Jiran Wanita (Sejiwa) Kampung Sungai Limau Dalam yang sanggup berpanas atau berhujan bagi melakukan rondaan demi menjaga kenderaan terutamanya motosikal jemaah di pekarangan Masjid AlSultan Abdul Halim Muazzam Shah di kampung itu setiap minggu, amat membanggakan.

Pengerusi Sejiwa Kampung Sungai Limau Dalam, Norlia Ismail, 57, berkata, dia bersama Nor Azizah Abdul Aziz, 52 dan Zarina Ismail, 38, secara sukarela menawarkan khidmat itu berikutan beberapa kes kecurian motosikal sejak tahun lalu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, mereka melakukannya dengan rela hati bagi memastikan jemaah dapat menunaikan solat Jumaat dengan tenang.

"Kami mula bertugas jam 1 tengah hari sehingga selesai solat Jumaat dengan melakukan rondaan dan memerhati persekitaran masjid jika ada sesuatu yang mencurigakan.

"Alhamdulillah tiada sebarang kes kecurian sepanjang kami mengawasi kawasan ini setiap minggu, jika ada pun selipar yang hilang, sebab kami tak sempat nak jaga selipar," katanya ketika ditemui di pekarangan masjid itu semalam.

Nor Azizah pula berkata, sepanjang mereka menjalankan tugas terbabit belum adasebarang kes kecurian yang berlaku.

"Kami kenal kebanyakan penduduk di sini dan tahu jika ada orang luar yang masuk ke kawasan ini atau orang yang mencurigakan di sini.

"Ada juga budak-budak nakal yang cuba ganggu motosikal orang lain, tapi lepas kami tegur mereka akan beredar," katanya.

Dalam pada itu, Zarina berkata, meskipun pada awalnya kehadiran mereka di pekarangan masjid setiap waktu solat Jumaat dipandang sinis sesetengah orang, namun mereka tetap menebalkan muka kerana niat untuk melakukan amal jariah.

Ibu kepada enam anak berusia lapan bulan hingga 15 tahun ini mengakui, sanggup meninggalkan bayinya yang berusia lapan bulan kepada anak sulungnya bagi keluar menjaga kenderaan di masjid.

"Tiada halangan dari ahli keluarga, lagipun tak lama saya di sini, lepas solat kami akan pulang ke rumah masing-masing, anggap saja ini sebagai jariah pada Jumaat," katanya.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...