by Oh! Semput
Pelakon Fattah Amin mengakui dirinya kini sedang melalui fasa penuh debaran apabila menghitung hari untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan penyanyi dan pelakon, Amira Othman.
Menurut Fattah, Amira kini banyak berehat di rumah bagi memastikan kesihatannya serta bayi berada dalam keadaan terbaik menjelang proses kelahiran.
Fattah berkata segala persiapan untuk menyambut kehadiran bayi mereka telah selesai dilakukan dan kini hanya menunggu masa untuk ke hospital.
Malah, pasangan itu turut memilih untuk merahsiakan jantina bayi mereka sehingga selepas kelahiran.
“Alhamdulillah, semuanya sudah disediakan. Misalnya keperluan untuk bayi, barang-barang bayi dan keperluan Amira sendiri. Semuanya sudah disediakan.”
“Sekarang hanya menunggu masa sahaja. Ada sebahagiannya pun sudah berada dalam kereta. Untuk kami berdua memang sudah tahu jantina bayi. Tetapi kami akan umumkan selepas bayi lahir nanti di media sosial,” katanya.
Walaupun pernah melalui pengalaman bergelar bapa sebelum ini, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu mengakui dia tetap berasa gementar kerana setiap kehamilan dan proses kelahiran mempunyai pengalaman yang berbeza.
“Saya sebenarnya memang agak gementar juga sebab kita tidak tahu apa yang bakal berlaku kerana setiap orang ada pengalaman yang berbeza.”
“Jadi untuk Amira ini, saya pun tidak pasti lagi macam mana kami berdua mahu mengendalikan semua perkara ini. Kadang-kadang bila Amira rasa sesuatu atau ada tanda-tanda tertentu, saya terus risau dan panik. Kemudian kami akan rujuk doktor,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fattah berkata dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melalui setiap detik kehamilan bersama isterinya dan sentiasa menemani Amira sepanjang tempoh tersebut.
Untuk rekod, Fattah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025.
Sebelum itu, Fattah pernah berkahwin dengan pelakon Fazura pada 27 November 2017 sebelum bercerai pada 7 Oktober 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
“Barang Baby Dan Amira Dah ‘Ready’, Jantina Pun Dah Tahu” – Fattah Amin Akui Gementar Menanti Kelahiran Cahaya Mata first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.