Bayern Munich Ketepikan Cabaran Liverpool Bawa Leon Goretzka Ke Allianz Arena

by Oh! Semput


HOME Posted on 20 Jan 2018 04:02:48



Leon Goretzka telah menyelesaikan ujian perubatan dan telah bersetuju untuk menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich.

Perpindahan Goretzka ke kelab Bavarian tersebut disahkan sendiri oleh Pengarah Sukan kelab Schalke, Christian Heidel sebentar tadi.

Kontrak Goretzka bersama Schalke akan tamat pada penghujung musim Bundesliga pada Jun akan datang. Walaupun pihak kelab ingin mengekalkan Goretzka di Gelsenkirchen, ia adalah jelas bahawa pemain tersebut mahu meninggalkan mereka.

(Photo by TF-Images/TF-Images via Getty Images)

Bayern telah tampil untuk menyatakan minat mereka untuk mendapatkan pemain tengah berusia 22 tahun pada minggu lepas.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media Jerman, Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinze Rummenigge berkata ia adalah satu perkara yang tidak masuk akal jika mereka tidak mahu mendapatkan pemain yang beraksi dengan Jerman dan merupakan seorang ejen bebas.

Walaupun turut menarik minat daripada Liverpool, Arsenal dan juga Juventus, Goretzka jelas lebih tertarik dengan peluang untuk beraksi di Allianz Arena, yang menjadi faktor utama beliau memilih untuk menyertai Bayern Munich.

Liverpool terutamanya dikatakan ingin menguatkan jentera tengahnya, dengan idea membawa masuk Goretzka untuk digandingkan dengan Naby Keita pada musim hadapan.

B(Photo by TF-Images/TF-Images via Getty Images)

Bercakap kepada wartawan dalam sidang media sempena perlawanan Bundesliga menentang Hannover pada Ahad akan datang, Heidel berkata:

“Sebelum ini leon Goretzka datang kepada kami dan memberitahu bahawa beliau mahu meninggalkan kelab ini untuk menyertai Bayern Munich.”

“Kami mengambil maklum akan perkara tersebut, walaupun dengan sedikit rasa kekesalan. Kemudiannya Karl Heinz-Rummenigge menghubungi kami untuk memaklumkan Goretzka sudah lulus ujian perubatan.”

“Maka kami akan kehilangan khidmat seorang pemain yang bagus. Kontrak Goretzka bersama Bayern akan bermula dari 1 Julai 2018. Percayalah. Kami telah melakukan sehabis baik untuk mengekalkan beliau,” jelas Heidel lagi.

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

Pemain berusia 22 tahun ini menyertai Schalke daripada Bochum pada 2013, dan telah tampil bersama sebanyak 12 kali untuk skuad kebangsaan Jerman, termasuk ketika Piala Konfederasi pada Julai tahun lalu.

Ketibaan Goretzka di Allianz Arena akan menjadikan status Arturo Vidal menjadi tanda tanya, selepas timbul perkhabaran pemain tersebut bakal meninggalkan gergasi Jerman tersebut.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...