Bekas kakitangan perkhidmatan awam didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi; bocorkan jumlah kes COVID-19

by Oh! Semput


HOME Posted on 14 Apr 2021 01:30:08



SINGAPURA: Seorang bekas kakitangan awam berusia 36 tahun akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi pada Rabu (14 Apr) setelah disyaki membocorkan jumlah kes harian COVID-19 di Singapura sebelum perangkaannya didedahkan secara rasmi.

Wanita itu juga akan didakwa di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer setelah disyaki mendapatkan rekod-rekod sulit mengenai satu kes COVID-19 atas permintaan orang lain.

Wanita itu adalah penerima maklumat rahsia yang sah mengenai COVID-19, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dia disyaki berkongsi jumlah kes baru COVID-19 sebanyak 22 kali antara Mac hingga April tahun lalu dengan para anggota kumpulan sembang yang tidak dibenarkan untuk menerima maklumat tersebut.

Para anggota kumpulan sembang itu dipercayai menyebarkan maklumat tersebut kepada orang lain sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Wanita itu diberkas pada April tahun lalu setelah pihak polis menerima aduan pada 16 Apr 2020 yang menyatakan bahawa jumlah kes jangkitan COVID-19 pada hari tersebut telah diterbitkan di catatan Instagram Stories, meskipun MOH belum lagi mengeluarkan perangkaan tersebut secara rasmi.

Dia akan didakwa atas kesalahan menyebarkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi, menurut SPF.

Seramai 64 individu yang salah menerima atau menyebarkan maklumat sulit akan dikenakan amaran keras atau nasihat bertulis bagi kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

MENGAKSES PANGKALAN DATA COVID-19 PEMERINTAH

Siasatan turut menunjukkan bahawa salah seorang anggota kumpulan sembang itu, seorang lagi wanita berusia 36 tahun, dipercayai meminta kakitangan perkhidmatan awam itu untuk memeriksa status kes bagi seorang pesakit yang diuji positif COVID-19, menurut SPF.

"Pekerja perkhidmatan awam itu kemudian disyaki mengakses pangkalan data COVID-19 Pemerintah untuk mendapatkan rekod sulit dan memberikan maklumat itu kepada wanita tersebut," menurut polis.

Bagi kesalahan mengakses pangkalan data COVID-19 Pemerintah bagi tujuan yang salah di sisi undang-undang, bekas kakitangan awam itu akan didakwa kerana mengakses bahan komputer yang tidak dibenarkan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer, menurut SPF.

Wanita kedua itu akan didakwa kerana memperolehi maklumat secara haram dan menyebarkan maklumat sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi, kedua-dua wanita itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$2,000.

Bagi kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer, wanita kedua itu juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$5,000.

- CNA/NA/na

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News