Bekas Pemain Kebangsaan Ini Jelaskan 8 Sebab Kenapa Skuad Projek FAM-MSN Wajar Dikekalkan

by Oh! Semput


HOME Posted on 14 Apr 2021 05:01:11



Susulan kritikan pelbagai pihak mengenai penyertaan dan perkembangan Skuad Projek FAM-MSN di saingan Liga Premier 2021, bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein mempunyai pandangan yang berbeza.

Menurut bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu, pasukan tersebut bukanlah program pembangunan menyeluruh, sebaliknya sebagai persiapan untuk mengharungi cabaran ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Oleh yang demikian, beliau berasa terkilan dengan cara maklumat tidak tepat disalurkan bertujuan mengelirukan peminat serta memohon semua pemegang taruh Skuad Projek FAM-MSN agar bertenang dan tidak melatah dengan keputusan serta prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Premier 2021.

“Kebanyakan mereka bukan daripada kelompok elit atau graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Jadi, projek ini mempunyai satu sasaran yang khusus, dan sudah tentulah ia memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding program pembangunan secara am atau menyeluruh,” ujar Rosli.

“Penyertaan skuad ini di Liga Premier tahun ini merupakan titik permulaan pendekatan berbeza yang saya maksudkan. Ketika kita semua sedang dikelirukan dengan maklumat-maklumat negatif, para perancang di FAM dan MSN sudah pun melihat ke hadapan dengan misi yang penuh harapan.

“Saya pasti skuad ini sudah pun mengukur baju di badan sendiri. Mereka tahu yang penyertaan mereka di Liga Premier merupakan satu cabaran yang amat tinggi. Dengan bimbingan, asuhan dan didikan dari pasukan kejurulatihan, skuad ini akan mampu mengharungi cabaran liga dengan positif.”

Rosli menjelaskan bahawa matlamat utama skuad tersebut bukanlah untuk meraih kejuaraan. Berbanding skuad Harimau Muda yang menghimpunkan pemain terbaik dari generasi remaja ketika itu, rata-rata pemain adalah dalam kalangan graduan dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Pusat Latihan Daerah (PLD).

“Ada pemain dalam skuad ini sebaya Luqman Hakim Shamsudin dan beberapa pemain lain seperti Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Harith Haikal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili dan Fahmi Daniel Zaaim di Selangor FC serta Umar Hakeem Suhar Rezwan, Alif Abdul Mutalib, Firdaus Ramli dan Ali Imran Sukari di JDT dan juga kelompok yang lahir pada 2003.

“Tentunya kelompok ini akan memperkuatkan pasukan apabila tiba masanya,” katanya lagi.

Rosli turut menggariskan lapan aspek positif skuad ini menerusi penyertaan mereka dalam Liga Premier 2021.

1. Tahap keyakinan dan keberanian pemain-pemain akan meningkat.

Setelah satu musim didedahkan kepada ujian yang begitu getir, tahap keyakinan dan keberanian pemain-pemain muda ini akan melonjak tinggi.

Bukan melalui kemampuan mereka mengatasi pihak lawan tetapi melalui pengalaman dan keupayaan mereka mengerah kemampuan serta kebolehan untuk menyaingi pemain-pemain yang lebih baik dan matang daripada mereka.

Bila kemenangan tidak menjadi fokus utama dengan jurulatih-jurulatih memberi sokongan dan bimbingan, saya pasti pengalaman yang mereka lalui, amat berharga sekali.

2. Pemain-pemain lebih akur tentang kekuatan dan kelemahan mereka

Pembelajaran melalui pengalaman selalu memberi impak yang berkesan dan mendalam. Kesedaran yang dimiliki pemain tentang kekuatan dan kelemahan mereka amat penting bagi kemajuan mereka.

Kesedaran ini juga akan membuat mereka lebih terbuka kepada tunjuk ajar dan teguran jurulatih.

3. Matlamat jangka panjang mengajar pemain-pemain menjadi fokus.

Sukan Olimpik 2024 adalah satu matlamat yang amat memberangsangkan. Pemain-pemain boleh menetapkan fokus pada pada matlamat jangka panjang itu dan pada waktu yang sama membina sasaran-sasaran jangka pertengahan dan pendek.

Ini akan menjadikan pembangunan mereka sebagai pemain lebih jelas. Jurulatih harus membantu pemain menentukan hala tuju perkembangan mereka denegan menggunakan kaedah yang lebih berstruktur.

4. Pengurusan dapat memahami tahap kemampuan semasa

Sebaik sahaja tamatnya Liga Premier ini, pegawai dan jurulatih akan mempunyai maklumat dan kefahaman yang mendalam mengenai segala potensi dan cabaran yang dimiliki oleh pemain-pemain dan pasukan ini.

Maklumat dan data penting yang terkumpul sepanjang satu musim ini akan menjadi garisan asas dan rujukan yang penting dalam proses mendorong pemain-pemain meningkat maju.

5. Perancangan persiapan akan menjadi lebih rapi

Pujangga berkata, perancangan yang baik bermaksud separuh daripada matlamat sudah dicapai. Dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang dialami, pihak pengurusan boleh membuat perancangan yang lebih rapi.

Keperluan sebenar pasukan boleh dipenuhi dan masalah sebenar boleh diatasi. Pembangunan pasukan akan menjadi lebih kemas, terancang dan strategik.

6. Proses membuat keputusan akan menjadi lebih senang

Dengan maklumat yang lengkap hasil dari penyertaan liga, keputusan yang melibatkan pasukan akan dibuat dengan lebih senang. Keputusan akan dibuat berdasarkan fakta-fakta dan bukan sekap jarang.

Keputusan yang baik dan tepat sudah pasti akan memanfaatkan pasukan. Kita inginkan keputusan yang diambil semasa proses persiapan pasukan ini dibuat dalam keadaan yang jelas, fokus, adil dan bermanfaat.

7. Minit permainan untuk pemain

Berbanding dengan rakan sebaya mereka yang rata-rata memanaskan bangku simpanan, skuad projek memberi peluang kepada pemain mencatat minit permainan – faktor penting untuk memberi mereka mileage dari segi pengalaman perlawanan kompetitif dan bukan bersandarkan kepada keputusan semata-mata.

8. Laluan kerjaya untuk graduan AMD, SSM, SSN dan PLD

Mengikut struktur yang ada, wujudnya skuad projek ini membuka ruang lebih luas untuk pemain meneruskan kerjaya selepas tamat SPM. Selain skuad Piala Belia dan Piala Presiden, Liga Super dan Liga Premier bersama kelab-kelab tertentu, graduan NFDP ada peluang masuk ke Liga Premier menerusi skuad ini.

Rosli turut menyatakan rasa terkilan terhadap kritikan bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim.

“Saya pernah bersama Lim Teong Kim dalam skuad Kuala Lumpur pada suatu masa dahulu dan berasa terkilan dengan hentaman keras yang dilemparkan kepada inisiatif FAM-MSN ini.

“Saya tidak pasti mengapa Teong Kim begitu agresif dengan kritikannya. Sama ada penyertaan skuad ini dalam Liga Premier telah betul-betul melanggar prinsip-prinsip pembangunan bola sepak atau ianya hanya satu “gerak-keliru”untuk memindahkan fokus kita daripada kegagalan beliau sewaktu dengan NFDP dan AMD.

“Terlalu banyak kritikan yang telah dilemparkan kepada bola sepak Malaysia, tetapi kita masih belum dapat melihat satu pun solusi yang berjaya. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita melontarkan maklum balas yang membina.”

Kredit Foto: MFL

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Stadium Sultan Ibrahim Kini Jadi Tumpuan Acara Dunia, Spartan Stadion

Tomas Trucha: Sabah Kuat, Anda Boleh Tanya Terengganu Kalau Tak Percaya

Manuel Konrad Adalah Jawapan Kepada ‘Kelompongan’ Selangor Di Atas Padang

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News