Bekas polis dipenjara, disebat lakukan jenayah seks ke atas suspek dalam tahanan

by Oh! Semput


3
SHARES
34
VIEWS
Posted on 19 Nov 2019 19:00:53

SINGAPURA: Seorang pegawai siasatan kanan dalam Pasukan Polis Singapura (SPF) melakukan kesalahan seksual ke atas dua suspek wanita dalam tahanan polis, dengan mengarahkan salah seorang daripada mereka melakukan perbuatan seksual ke atas dirinya di bilik temubual.

Lee Sze Chiat, 39 tahun, yang mengaku bersalah atas kesalahan itu hari ini (19 Nov) dihukum penjara setahun dan sekali sebatan.

Dia mengaku bersalah mencabul seorang suspek wanita dan meminta seorang lagi melakukan perbuatan seksual.

Mahkamah diberitahu Lee menganggotai SPF pada Julai 2002 dan ketika kesalahan memegang jawatan Staf Sarjan Kanan serta anggota pasukan siasatan di Ibu Pejabat Polis Divisyen Jurong.

Dua suspek wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan atas arahan mahkamah, ditahan pada 6 Disember 2017 kerana disyaki menawarkan khidmat seks.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Divisyen Jurong di mana Lee membantu siasatan meski tidak ditugaskan secara rasmi untuk berbuat demikian berhubung kes wanita berusia 28 dan 29 tahun itu.

PARA MANGSA ENGGAN, NAMUN TAK MAHU TOLAK PERMINTAAN PEGAWAI POLIS

Pada sekitar 11 malam, Lee membawa suspek berusia 28 tahun dari lokap ke bilik temu bual di besmen.

Dia meminta wanita itu untuk mengurutnya sebanyak dua kali tetapi ditolak wanita tersebut. Lee kemudian mengunci pintu, memberitahu wanita itu tidak ada kamera CCTV dalam bilik tersebut dan meminta wanita berkenaan sekali lagi untuk mengurutnya.

Wanita itu secara keberatan bersetuju kerana tidak mahu menolak permintaan seorang pegawai polis, menurut Timbalan Pendakwaraya Awam Marshall Lim.

Lee kemudian mencabul kehormatannya. Wanita itu meninggikan suara dan meminta Lee berhenti. Beliau cuba bergerak jauh dari Lee tetapi tidak daya melakukannya kerana tangan Lee memeluk pinggangnya.

Lee kemudian memaksa wanita itu melakukan perbuatan seks ke atasnya.

Setelah kejadian itu, Lee menawarkan untuk mengambil alih siasatan ke atas wanita kedua daripada seorang pegawai siasatan lain.

Di tengah-tengah temu bual, Lee mengarahkan wanita itu melakukan perbuatan seks ke atas dirinya.

Tindakan Lee terbongkar selepas mangsa pertama menceritakan tentang insiden tersebut kepada seorang pegawai siasatan lain dan kemudian membuat aduan polis setelah dinasihati pegawai itu.

KES MEMBIMBANGKAN: PENDAKWA

Pihak pendakwa menuntut tempoh penjara sekurang-kurangnya 13 bulan dan satu sebatan, menyifatkan fakta kes tersebut sebagai "membimbangkan".

"Sangat membimbangkan apabila seorang pegawai polis dengan jawatan setinggi tertuduh boleh melakukan kesalahan terkutuk itu," kata pihak pendakwa.

Pihak pendakwa menegaskan, seorang pegawai yang ditugaskan menegakkan undang-undang tapi sebaliknya melanggarnya, mesti ditangani dengan tegas untuk memberi amaran lantang kepada pegawai-pegawai lain bahawa kelakuan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali.

Atas kesalahan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan wanita, Lee boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau sebarang gabungan hukuman-hukuman itu.

Atas kesalahan melakukan perbuatan yang melanggar disiplin dan aturan baik di bawah Akta Pasukan Polis, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$1,000 atau kedua-duanya sekali.

Mediacorp sudah menghubungi pihak polis untuk maklumat lanjut. 

- CNA/TQ/tq

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts