by Oh! Semput
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan hasil sebanyak RM1.507 bilion bagi tahun 2027 dengan perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.502 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan sebanyak RM5 juta.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang bertemakan “Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan” dirangka dengan mengambil kira keperluan semasa, cabaran ekonomi serta harapan rakyat terhadap masa depan negeri.
Menurutnya, sebanyak RM454.4 juta turut diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Dalam merancang pembangunan, kita mahu memastikan kedudukan kewangan negeri terus kukuh, pada masa yang sama kebajikan rakyat tidak pernah diketepikan,” katanya.
Beliau berkata, enam teras utama ditetapkan sebagai landasan Belanjawan Negeri Pahang 2027, merangkumi usaha memperkasa pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta modal insan.
Teras lain ialah memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan; memantapkan tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan; serta memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas rakyat.
Selain itu, belanjawan berkenaan turut memberi penekanan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber negeri secara lestari serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Wan Rosdy berkata, sebanyak 181 inisiatif telah dirangka menerusi belanjawan berkenaan, melibatkan 158 inisiatif di bawah Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBN Pahang) dan 23 inisiatif pembangunan.
Katanya, setiap peruntukan, program dan usaha kerajaan dirancang bagi memastikan manfaatnya dapat diterjemahkan kepada rakyat secara langsung.
“Matlamat kita adalah untuk membina Pahang yang lebih maju, memperkukuh ekonominya dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin demi memastikan kesejahteraan dan kemajuan Pahang serta seluruh rakyatnya. #UMNOnline