by Oh! Semput
Seorang bapa patah kaki manakala anak lelakinya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Cheng, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, kejadian kira-kira jam 9 malam itu melibatkan tujuh buah kereta, sebuah lori, sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux serta sebuah motosikal Honda Dash.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari arah Malim menuju ke Cheng dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Rempuhan itu turut melibatkan motosikal yang dinaiki seorang lelaki berusia 39 tahun bersama anak lelakinya berusia 11 tahun, menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan.
Penunggang motosikal dilaporkan patah kaki, manakala anaknya mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan terpaksa diintubasi bagi membantu pernafasan sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Pemandu Toyota Hilux pula hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka dan turut menerima rawatan di hospital.
Muhammad Zaki berkata, ujian saringan dadah dan alkohol yang dijalankan ke atas pemandu pacuan empat roda itu didapati negatif. Bagaimanapun, sampel darah telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi menjalani ujian toksikologi sebagai sebahagian daripada siasatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di Alor Gajah bagi menjalani pemeriksaan teknikal untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kegagalan mekanikal yang menyumbang kepada kemalangan.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam kejadian itu juga telah diperoleh dan akan dijadikan antara bahan bukti bagi membantu melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat atau tanpa perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan. Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi had laju dan mengekalkan jarak selamat, terutama ketika menghampiri persimpangan yang sesak.
2 Beranak Parah Dalam Kemalangan Babitkan 10 Kenderaan first appeared on #1 The News Malaysia.