by Oh! Semput
HOME Posted on 23 Feb 2021 22:02:07
Sebut sahaja ‘Hero Malaysia’, sudah tentu wajah dan nama Ustaz Ebit Lew terbayang di fikiran semua. Usahawan dan pendakwah bebas terkenal itu memang cukup dikenali dengan sifat pemurahnya yang tidak berbelah bahagi.
Hari ini, Ebit Lew berkongsi misi bantuannya lagi menerusi laman sosial Instagram miliknya. Kali ini, dia telah ke Rantau Panjang, Kelantan untuk menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga yang memerlukan di sana.
Difahamkan lagi, keluarga itu hanya tinggal bertiga di rumah di mana si anak merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), bapa pula cacat penglihatan (buta) manakala ibu pula warga emas yang sudah uzur.
Menurut Ebit Lew, setiap manusia diberi ujian yang berbeza. Dia meluahkan rasa sedih apabila melihat keadaan mereka yang tidur beralaskan sekeping tikar di atas lantai dan hanya mempunyai sebuah kipas kecil.
Bagaimanapun, sepanjang kehadirannya di teratak mereka, mulut si ibu sentiasa dihiasi dan tidak henti mengucapkan terima kasih kepada Ebit Lew, meluahkan rasa syukur berulang kali.
Menerusi video pendek yang dikongsi oleh Ebit Lew berkenaan, dapat dilihat dia tidak kekok memakaikan seluar serta mendukung anak OKU tersebut ke atas katil. Allahu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet terharu dengan tindakan Ebit Lew dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan oleh Allah SWT.
Dalam pada itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang turut membantu menjayakan misi bantuannya terbabit.
Hebatnya, syabas Ustaz Ebit Lew! Semoga segala usaha ustaz berbuah ganjaran pahala di akhirat kelak.