Bilal Masjid Yang Hilang Selepas Dihanyut Arus Ketika Berenang Menyeberangi Sungai Pahang Di Kampung Peragap, Ditemui Lemas Pagi Tadi

by Oh! Semput


3
SHARES
37
VIEWS
Posted on 03 Jun 2026 10:01:58

TEMERLOH: Seorang bilal masjid yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap, di sini, semalam, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Samsul Azmi Ishury, 41, ditemui pada jam 9.35 pagi di Sungai Pahang berhampiran Kampung Loyang, kira-kira 2.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata mangsa ditemui pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula jam 7.43 pagi selepas ditangguhkan 6.50 petang semalam.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama Unit Pengesan K9 menjalankan pencarian di sekitar lokasi kejadian sebelum mayat ditemui jam 9.35 pagi kira-kira 2.2 kilometer dari lokasi dia dipercayai lemas sebelum dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya di sini,hari ini.

Mohd Salahuddin berkata, operasi SAR membabitkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, lima anggota PPDA BBP Bukit Angin serta empat anggota Unit K9 bersama seekor anjing pengesan.

Turut membantu operasi ialah lapan anggota polis, 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 37 penduduk kampung yang menggunakan 17 bot.

Mohd Salahuddin berkata, pada hari pertama operasi semalam, pasukan penyelamat melakukan beberapa selaman di lokasi mangsa dipercayai lemas namun gagal menemukannya sebelum operasi ditangguhkan.

Dalam perkembangan sama, seorang anggota bomba mengalami kecederaan retak pada pergelangan tangan selepas tersepit antara bot dan sangkar ikan ketika membantu operasi SAR petang semalam.

Terdahulu, mangsa yang merupakan bilal sebuah masjid di Kampung Lipat Kajang dilaporkan hilang selepas dipercayai berenang untuk menyeberangi Sungai Pahang sebelum dihanyutkan arus.

Kehilangan mangsa disedari selepas motosikal dan barangan peribadinya ditemukan di tebing sungai, manakala saksi memaklumkan melihat mangsa berenang di kawasan berkenaan sebelum kejadian. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts