by Oh! Semput

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika melawat PPP Kem Mahkota, Kluang. – Foto Hairul Anuar Rahim
KLUANG: Kerajaan akan menambah bilangan Pusat Pemulihan Kemasyarakatan (PPP) di negara ini dalam usaha menambah baik program pemulihan banduan di penjara sebelum dibebaskan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata Sarawak dijangka menjadi keutamaan kerajaan pada tahun hadapan bagi membina PPP di negeri itu.
Katanya, sehingga kini terdapat enam PPP iaitu di Kem Mahkota Kluang, di sini; Kem Desa Pahlawan, Kelantan; Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah; Kem Syed Sirajuddin, Negeri Sembilan, Kem Batu 10, Pahang dan Kem Tentera Kota Belud di Sabah.
“Sejak 2011 diperkenalkan di Kem Mahkota di sini, semua enam PPP sudah berjaya memulihkan 8,200 Orang Yang Diselia (ODS) yang ditempatkan di pusat ini dan masih ada 1,645 masih mendapatkan program pemulihan di semua PPP.
“Pada masa akan datang kita (kerajaan) akan berusaha membina PPP di Sarawak dalam usaha menambah lagi bilangan pusat ini selaras dengan hasrat kerajaan yang meletakkan projek ini sebagai satu daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Markas 7 Briged Infantri dan PPP Kem Mahkota di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi; wakil Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Panglima Briged, Brig Jen, Mohd Hassan Loman.
Category: Semasa