Buasir: Punca, Simptom dan Rawatan

by Oh! Semput


16
SHARES
209
VIEWS
Posted on 24 Jan 2021 11:30:09

Apakah punca dan rawatan kepada masalah buasir? Artikel ini akan membincangkan, punca, simptom, ujian pemeriksaan, komplikasi untuk masalah buasir.

Pengenalan

Buasir (Hemorrhoids), yang juga dikenali sebagai unjuran (piles), ialah pembengkakan saluran darah di bahagian rektum atau anus. Masalah ini merupakan salah satu punca yang kerap menyebabkan pesakit datang berjumpa doktor.  Mereka sering menyatakan bahawa terdapat rasa ketidakselesaan, seolah-olah ada ketulan di bahagian dubur. Selain itu, ada yang kerap mengalami najis berdarah tanpa rasa sakit.  Walaupun penyakit buasir adalah penyakit biasa di Malaysia, kita tidak mempunyai angka yang tepat mengenai kadar kejadian dan prevalens penyakit ini disebabkan oleh rasa ‘malu’ kebanyakan pesakit untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Jenis Buasir dan Tahapan

Terdapat 2 jenis buasir iaitu buasir dalaman dan luaran.

  • Buasir dalaman – pembengkakan saluran darah di bahagian dalam lapisan rektum. Pesakit selalunya mengadu terdapat pendarahan selepas membuang air besar tanpa rasa sakit. Ada juga mengatakan bahawa mereka terasa seperti ‘sesuatu’ yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar.
  • Buasir luaran – pembengkakan saluran darah di bahagian luar rektum dan bawah kulit di dubur. Pesakit seringkali mengadu rasa sakit, panas, pedih atau mempunyai pendarahan semasa hendak membuang air besar. Kesakitan ini berlaku disebabkan saluran darah tersumbat oleh darah beku.

Selain itu, buasir jugak boleh dikategorikan kepada 4 tahap, bergantung kepada kebolehan unjuran untuk ditolak semula ke dalam dubur.

  • Tahap pertama – unjuran dalaman yang berdarah
  • Tahap kedua – benjolan di dubur yang keluar selepas buang air besar, dan kemudian hilang begitu sahaja
  • Tahap ketiga – benjolan di dubur yang keluar setelah buang air besar tetapi perlu ditolak masuk oleh jari ke dalam dubur
  • Tahap keempat – benjolan yang tidak dapat ditolak masuk ke dubur

Punca dan Faktor Risiko

Faktor risiko buasir berkait rapat dengan keadaan yang  menyebabkan penambahan tekanan kepada saluran darah di rektum atau dubur seperti:

  • Kehamilan: pembesaran janin menyebabkan tekanan di bahagian dubur.
  • Penuaan: walaupun buasir paling kerap berlaku pada orang dewasa berusia 45 hingga 65 tahun, ia tetap boleh terjadi kepada sesiapa sahaja termasuk orang muda dan kanak-kanak.
  • Cirit-birit: Buasir boleh berlaku kepada individu yang mempunyai cirit-birit kronik
  • Sembelit : Proses meneran semasa membuang air besar akan memberi tekanan kepada saluran darah di bahagian dubur.
  • Duduk terlalu lama di tandas: Penggunaan tandas duduk mempunyai risiko yang tinggi berbanding tandas cangkung. Ini kerana, posisi duduk yang lama semasa membuang air besar sebenarnya memberi tekanan yang lebih kepada saluran darah di dubur, berbanding semasa menggunakan tandas cangkung.
  • Angkat berat: Mengangkat objek berat berulang kali boleh memberi tekanan kepada saluran darah di dubur dan menyebabkan buasir.
  • Diet: kurang serat dalam pemakanan
  • Hubungan kelamin melalui dubur
  • Obesiti
  • Genetik

Simptom Buasir

Simptom dan tanda buasir termasuklah:

  • Perubahan tabiat membuang air besar
  • Merasakan bahawa usus tidak kosong sepenuhnya selepas membuang air besar
  • Najis berdarah
  • Gatal, pedih atau bengkak di dubur
  • Benjolan yang jelas di dubur
  • Sakit semasa dan selepas buang air besar
  • Hilang selera makan
  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan

Simptom di atas juga merupakan simptom kanser usus. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan pendapat doktor dan menjalani penilaian penuh sebelum mengaitkan simptom tersebut dengan buasir.

Komplikasi

Komplikasi dari buasir jarang berlaku, tetapi boleh merangkumi:

  • Darah beku
  • Pembengkakan saluran darah
  • Pendarahan
  • Anemia yang disebabkan oleh kehilangan darah

Penyakit Lain yang Berkaitan

Simptom-simptom buasir tidaklah terlalu spesifik kepada buasir dan boleh juga terjadi kepada beberapa penyakit lain seperti:

  • Acute proctatitis (Keradangan di bahagian rektum disebabkan jangkitan kuman)
  • Kanser rektum
  • Kanser anal
  • Polip (unjuran daripada dinding usus)
  • Penyakit radang usus (Inflammatory Bowel Disease)

Ujian Pemeriksaan

Buasir biasanya dapat disahkan dari sejarah kesihatan pesakit dan pemeriksaan fizikal. Pada umumnya, buasir luaran dapat dilihat terutamanya jika berlaku pembekuan darah. Doktor juga mungkin melakukan pemeriksaan dubur untuk memeriksa darah pada najis.

Selain itu, anoscopy iaitu prosedur menggunakan tiub plastik pendek yang dimasukkan ke dalam rektum dengan pencahayaan akan dilakukan untuk pemeriksaan saluran dubur. Buasir dapat dilihat daripada pemeriksaan tersebut selalunya. Sekiranya terdapat bukti pendarahan rektum atau darah mikroskopik dalam najis tetapi tidak kelihatan buasir, doktor akan menggunakan flexible sigmoidoscopy dan colonoscopy. Sampel tisu biopsi akan diambil semasa prosedur ini untuk analisis makmal.

Rawatan

Rawatan bergantung kepada tahap buasir.

Bagi Tahap 1-2

1. Perubahan Gaya Hidup

Biasanya, pesakit dinasihatkan untuk melalukan perubahan amalan gaya hidup seperti:

  • Melebihkan pengambilan serat dalam pemakanan seperti buah-buahan, sayuran hijau dan bijirin
  • Minum air yang banyak; sekurang-kurangnya 8 gelas sehari
  • angan meneran terlalu lama dan berlebihan semasa membuang air besar

2. Ubat

Ambil ubat seperti Flavinoids untuk mengelakkan sembelit yang berterusan

3. Rubber Band Ligation

Prosedur Rubber Band Ligation atau lebih dikenali sebagai “ikat” boleh dilakukan. Prosedur ini menggunakan gelung getah yang kecil, yang akan dipasang di pangkal unjuran. Unjuran yang diikat tidak akan menerima aliran darah sebagai sumber untuk ia terus membesar. Unjuran ini kemudian akan kecut dengan sendiri dan dikeluarkan secara semula jadi bersama najis melalui dubur.

4. Sclerotheraphy

Sclerotherapy melibatkan penggunaan sejenis cecair seperti Phenol. Ia akan disuntik ke dalam unjuran tersebut menyebabkan dinding saluran darah di sekitarnya akan mengecut.

Bagi Tahap 3-4

Disebabkan unjuran di tahap 3-4 adalah lebih besar berbanding yang sebelumnya, maka pembedahan ialah rawatan pilihan.

1. Hemorrhoidectomy

Hemorrhoidectomy  diperlukan jika pesakit mempunyai buasir yang menonjol keluar dubur, mempunyai simptom berterusan atau buasir yang kembali walaupun telah melalukan Rubber Band Ligation. Semasa hemorrhoidectomy, satu bukaan akan dibuat di tisu unjuran dan doktor akan mengeluarkan aliran darah yang terjejas. Prosedur ini mempunyai tahap kesembuhan sebanyak 95% serta tahap komplikasi yang rendah. Namun begitu, sesetengah pesakit mungkin akan merasa sakit dan pedih semasa membuang air besar selepas pembedahan. Ia selalunya mengambil masa 2-4 minggu untuk sembuh dengan baik.

2. Doppler guided transanal hemorrhoidal artery ligation (DGHAL)

DGHAL ialah prosedur menggunakan mesin ultrasound untuk mengenal pasti saluran darah yang terjejas untuk disekat dengan jahitan. Rawatan ini akan mengurangkan kesan kesakitan selepas pembedahan, tetapi kesesuaiannya bergantung kepada pendapat doktor yang merawat

3. Laser hemmoriodoplasty

Rawatan ini menggunakan laser khas yang mengeluarkan pancaran haba untuk mengecutkan unjuran. Seperti DGHAL, laser ini tidak semestinya digunakan untuk semua jenis buasir. Ia bergantung kepada kesesuaian keadaan pesakit.

Pencegahan

Tips yang boleh di cuba bagi mengelakkan buasir ialah melalui:

  1. Pemakanan: Pastikan anda makan makanan yang kaya dengan kandungan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta biji-bijian. Serat akan membantu melembutkan tekstur najis.  Begitu juga dengan minum air yang banyak untuk mengekalkan kelembutan najis. Supplement serat juga boleh diambil untuk mengurangkan sembelit.
  2. Elakkan tekanan berlebihan: Semasa menggunakan tandas, cubalah untuk tidak teran secara memaksa dan berlebihan. Ini kerana ia menimbulkan tekanan pada saluran darah di rektum atau anus.
  3. Aktiviti fizikal: Aktiviti fizikal juga membantu najis bergerak melalui proses peristalsis yang seterusnya menjadikan pergerakan usus lebih teratur.
  4. Mengekalkan berat badan yang sihat: Berat badan berlebihan meningkatkan risiko menghidap buasir.

Rujukan:

  1. Gunarasa, S., Dr. (2020, November 29). Apa itu Buasir? Apa Itu Buasir? From Hospital Pantai
  2. Haemorrhoids (Piles). (n.d.). Retrieved January 21, 2021, from Hospital Pantai
  3. Hemorrhoids. Healthline. (2021). Retrieved 21 January 2021,
  4. Hemorrhoids: Causes, treatments, and prevention. (n.d.). Retrieved January 22, 2021, from Medical News Today

Buasir: Punca, Simptom dan Rawatan Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts