Bubur asyura dijual di Bunohan sepanjang tahun

by Oh! Semput


HOME Posted on 10 Oct 2019 02:02:00



Kuih tradisional bubur asyura yang terdapat di gerai Nasir Mat San yang terletak di Pasar Bunohan di Tumpat, Kelantan. — Foto Bernama
Kuih tradisional bubur asyura yang terdapat di gerai Nasir Mat San yang terletak di Pasar Bunohan di Tumpat, Kelantan. — Foto Bernama

TUMPAT, 9 Okt — Membuat bubur asyura secara bergotong-royong sepanjang bulan Muharam sudah menjadi tradisi rakyat negara ini.

Setiap kali tibanya bulan pertama kalendar Islam itu semua penggemar bubur asyura dapat menikmati makanan yang diperkenalkan sejak zaman Rasulullah itu.

Bagaimanapun bubur asyura yang biasanya dimasak dalam tempoh sehingga enam jam agak sukar didapati pada bulan-bulan Islam yang lain.

Menyedari perkara itu, seorang peniaga kuih tradisional di Pasar Bunohan, Tumpat, Nasir Mat San, 56, mengambil pendekatan menyediakan dan menjual bubur asyura sepanjang tahun.

Katanya, beliau mula menjual bubur asyura sejak 2005 selepas ramai pelanggan yang bertandang ke kedainya selalu bertanyakan makanan itu.

“Pada mulanya saya teragak-agak untuk menjual bubur asyura kerana memikirkan ia mengambil masa yang lama untuk disediakan.

“Namun bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama ibu hamil yang mengidam dan memikirkan ia juga makanan zaman Nabi Muhammad s.a.w., saya memutuskan untuk menjualnya di kedai saya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nasir berkata keputusan yang diambil itu ternyata tepat, apabila bubur asyura yang dijual mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan dan hampir setiap hari jualannya laris.

Katanya bubur asyura yang dijual turut mendapat permintaan tinggi daripada kaum lain, terutama masyarakat Cina dan Siam malah turut dibeli pelanggan, untuk dipos ke luar negara termasuk ke Jepun.

Katanya beliau menjual satu kawah bubur asyura sehari di kedainya dengan harga RM1 sekeping manakala RM120 hingga RM180 bagi satu talam bergantung kepada tambahan bahan yang diminta pelanggan.

“Saya bersyukur kerana makin ramai penggemar bubur asyura mengunjungi kedai saya, dari seluruh negeri Kelantan termasuk juga dari Terengganu,” katanya.

Menurut Nasir sejak beberapa tahun lepas beliau mula menggunakan mesin pengacau untuk memudahkan kerja memasak bubur asyura berikutan tempahan yang diterima semakin meningkat untuk pelbagai majlis. — Bernama

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...