Cabar jawi bukan wajah DAP — Faisal Abdul Aziz

by Oh! Semput


HOME Posted on 02 Aug 2020 07:04:06



1 OGOS — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Pahang Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah untuk mencabar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang yang mewajibkan tulisan jawi untuk digunakan di papan tanda iklan.

Abim berpandangan tindakan ini boleh mencetuskan provokasi yang membawa ketegangan hubungan antara kaum dalam situasi negara masih dibayangi dengan pelbagai polemik berbaur perkauman.

Malah tindakan ini ditolak dan dikritik oleh beberapa tokoh pimpinan DAP Pusat sendiri sebagai tindakan yang mementingkan diri atas hasrat dan tujuan kepentingan peribadi yang merosakkan nama baik DAP.

Dalam pada itu, Abim melihat tindakan ini adalah demi untuk meraih populariti politik semberono menerusi provokasi perkauman tanpa ada rasa tanggungjawab untuk mencari penyelesaian serta inisiatif yang terbaik menerusi dialog dalam kalangan wakil pelbagai kaum terlebih dahulu. 

Abim menegaskan khazanah sesuatu bangsa seperti tulisan jawi tidak harus ditanggapi sebagai ancaman. 

Sebaliknya perbezaan budaya dalam masyarakat majmuk harus dinilai sebagai suatu keunikan yang perlu untuk dipelajari oleh semua bangsa.

Gesaan ini berdasarkan pada pengalaman dan pemerhatian Abim sepanjang dialog dengan pemimpin yang mewakili pelbagai bangsa dan agama.

Menerusi pendekatan ini pihak terbabit dapat mengemukakan pandangan serta jalan penyelesaian dengan lebih bertanggungjawab menerusi dialog dan rundingan untuk sama-sama bergerak ke hadapan membangunkan negara dan bangsa tanpa dirundung polemik perkauman yang merugikan.

*Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia. 

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

   
 
     

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...