by Oh! Semput
GOH V SHEM (kanan) dan Tan Wee Kiong meraikan kejayaan muncul juara Siri Super Dunia Akhir di Dubai, semalam. BWFKUALA LUMPUR – Goh V Shem-Tan Wee Kiong melengkapkan musim cemerlang mereka apabila menutup tirai 2016 dengan merangkul kejuaraan badminton Siri Super Dunia Akhir di Dubai, semalam.
Pasangan No. 1 dunia itu hanya mengambil masa 40 minit untuk menewaskan pilihan pertama kejohanan yang juga beregu No. 5 dunia, Kamura Takeshi-Keigo Sonoda dari Jepun 21-14, 21-19.
V Shem-Wee Kiong sebelum ini turut merangkul beberapa kejayaan besar, termasuk memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu dan Siri Super Premier Terbuka Denmark pada September lalu.
“Terima kasih saya ucapkan kepada penyokong Malaysia yang hadir memberi sokongan.
“Tanpa mereka saya fikir kami mungkin berdepan masalah. Tahun 2016 adalah tahun yang cukup menakjubkan bagi kami kerana berjaya merangkul banyak kejuaraan.
“Kami gembira dan sukar untuk mempercayainya kerana kemenangan ini amat bermakna.
“Pasangan dari Jepun berada dalam kedudukan terbaik malah mereka juga laju serta tangkas. Kami cuba memperlahankan rentak permainan mereka dan kemudian memenangi perlawanan ini,” kata Wee Kiong.
V Shem-Wee Kiong merupakan beregu lelaki kedua negara yang berjaya merangkul kejuaraan penutup tirai yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM4.476 juta) selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong melakukannya pada 2008.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang AS$84,000 (RM375,000).
Ini bermakna, peminat badminton negara kini tidak perlu lagi bergantung kepada perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan di pentas dunia apabila V Shem-Wee Kiong juga sudah mampu memikul tanggungjawab tersebut.
Pemain No. 1 dunia, Chong Wei yang pernah menjuarai gelaran Siri Super Dunia Akhir empat kali tidak dapat meneruskan rentak cemerlang apabila tersingkir di peringkat kumpulan selepas mencatat dua kekalahan dan satu kemenangan.