Covid-19: Turun semula, 30 kes baharu hari ini

by Oh! Semput


1
SHARES
14
VIEWS
Posted on 30 May 2020 10:02:14

SELEPAS peningkatan mendadak kes harian semalam, jangkitan baharu Covid-19 dalam negara kembali 'normal' dengan merekodkan 30 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu 7,762 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu, penularan tempatan merekodkan 27 kes dengan jangkitan membabitkan warga Malaysia hanya 10 kes sahaja.

Beliau berkata, baki 17 kes membabitkan jangkitan dalam kalangan bukan warga Malaysia, selain ada tiga kes lagi berkaitan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat 95 kes yang pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan discaj wad sebanyak 6,330 kes, 81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,317 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Setakat dilaporkan hari ini, sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 115 kes, 1.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts