by Oh! Semput
Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan dakwaan kononnya kemiskinan tegar telah dihapuskan sepenuhnya di Selangor adalah tidak tepat kerana masih wujud golongan fakir dan miskin yang memerlukan bantuan.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda tidak mahu masyarakat tersalah tafsir hingga menganggap tiada lagi individu layak menerima zakat di negeri itu.
Berdasarkan data Lembaga Zakat Selangor, agihan zakat tahun lalu mencecah RM1.33 bilion dengan kutipan RM1.31 bilion, namun angka itu turut mencerminkan realiti masih ramai memerlukan bantuan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan sekiranya persepsi bahawa tiada lagi fakir miskin boleh menjejaskan kutipan zakat pada masa hadapan.
Dalam masa sama, baginda bertitah keutamaan agihan perlu terus diberikan kepada keperluan asas seperti bantuan kewangan bulanan, makanan, perumahan serta pendidikan, selain berharap pengurusan zakat dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan menyatakan isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan.