Dengan Hantaran RM50,000, Nadia Brian Sah Nikahi Muizz

by Oh! Semput


HOME Posted on 09 Nov 2019 16:00:40



Pelakon Nadia Brian sah bergelar isteri kepada Muizz Nasruddin kira-kira jam 12.03 tengah hari tadi, dengan sekali lafaz.

Majlis yang dihadiri keluarga terdekat menyaksikan pengantin perempuan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh, selain menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 dan wang hantaran RM50,000.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Imam Masjid Al Ikhlas, Shah Alam, Muhammad Shahar Abidin.

“Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan dan kini saya dan suami mengecap fasa baharu dalam ikatan perkahwinan.

“Insya-Allah, kami akan sama-sama melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Berita Harian.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, mengenali suaminya menerusi teman baik yang juga pelakon, Ainul Aishah.

Pasangan terbabit akan diraikan malam ini dalam majlis resepsi di lokasi sama.

“Memandangkan keluarga masing-masing menetap di ibu negara, kami sepakat untuk mengadakan sebuah majlis resepsi sahaja. Ia lebih mudah dan alang-alang penat, biar kami lalui sekali harung.

“Ikutkan, kami merancang majlis ini lebih awal, iaitu pada 9 September lalu. Namun, berikutan masalah lokasi, ia ditunda ke bulan ini. Perancangan Allah itu indah dan kami terima dengan seadanya,” katanya.

Nadia dan Muizz bertunang pada 4 Mei lalu dalam majlis yang diadakan di sini.

Dalam pada itu, pelakon Cinta Tanpa Henti ini menyifatkan, kesungguhan suami dalam menambat hatinya antara sebab utama dia bersedia menjalinkan hubungan, sekali gus menuju gerbang perkahwinan.

“Pada peringkat awal perkenalan, saya sendiri tidak mahu memberikan sebarang harapan kepadanya, selain sibuk dengan aktiviti lakonan, waktu itu.

“Namun, penghujung tahun lalu, kami mula menjadi rapat. Dia juga tidak pernah berputus asa untuk menambat hati saya.

“Seterusnya, Februari lalu, saya menerima lamarannya di kota Paris, bersaksikan Menara Eiffel,” katanya.

Turut hadir pada majlis pernikahan itu ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, bersama isteri.

: Berita Harian

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...