by Oh! Semput
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026, satu langkah strategik Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar negara.
Menurut Menteri Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, pindaan itu bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi manifestasi semangat federalisme yang menekankan keseimbangan kuasa serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.

RUU pindaan tersebut membolehkan penyerahan kuasa perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menghormati hak autonomi kedua-dua wilayah tersebut.
Arthur berkata, bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan pada 11 Mac depan, di Dewan Negara.

Tambahnya, langkah itu juga bertujuan mengelakkan sebarang kekosongan undang-undang atau pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, selain mengekalkan tadbir urus dan pematuhan undang-undang yang berkesan.