Diskaun istimewa kepada pengusaha makanan tawar Menu Rahmah, kata Mydin

by Oh! Semput


16
SHARES
213
VIEWS
Posted on 18 Jun 2024 04:30:22

PASARAYA besar Mydin menawarkan diskaun istimewa untuk kira-kira 50 barangan dan ramuan untuk menggalakkan usahawan makanan terus mengambil bahagian dalam inisiatif Menu Rahman kerajaan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Ameer Ali Mydin memberitahu The Malaysian Insight ini adalah sebahagian daripada langkah kumpulan itu untuk menyokong inisiatif Kad Diskaun Menu Rahmah Khas Putrajaya.

Mydin ialah rangkaian pasar raya besar halal tempatan terbesar, pemborong dan runcit.

Ameer berkata beliau memahami rungutan dalam kalangan peniaga kecil mengenai kenaikan kos barangan dan mahu mereka menggunakan Mydin sebagai rakan strategik.

Katanya ini dapat membantu peniaga ini mengurangkan beban untuk menawarkan Menu Rahmah di kedai makan mereka.

“Ramai yang mengadu Menu Rahmah sukar untuk dikekalkan kerana harga meningkat tetapi harga ayam sebelum ini jauh lebih tinggi daripada sekarang. Kami juga menawarkan harga yang baik untuk sayur-sayuran dan beras.

“Kerajaan mengeluarkan kad diskaun Menu Rahmah Khas kerana peniaga kecil mengadu tidak dapat menguruskan kos.

“Oleh itu, beberapa pemain yang lebih besar seperti kami di Mydin memberikan harga diskaun untuk barangan utama.

“Jadi sekiranya peniaga mempunyai kad diskaun Menu Rahmah, kita bukan sahaja memberikan harga borong, tetapi harga istimewa yang berada di bawah harga borong,” kata Ameer.

Pengasan rangkaian pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin berkata beliau memahami rungutan dalam kalangan peniaga kecil mengenai kenaikan kos barangan dan mahu mereka menggunakan Mydin sebagai rakan strategik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2024.

Ameer yang merupakan presiden Persatuan Peruncit Bumiputera berkata terdapat kira-kira 50 barangan dijual pada kadar istimewa.

“Ini termasuk barangan utama seperti minyak masak, serbuk kari, gula atau apa sahaja yang diperlukan untuk menu mereka.

“Ini dimulakan oleh kerajaan tetapi kami menyenaraikan senarai barangan yang boleh direbut dengan harga kurang daripada harga borong.

“Ini akan memberi insentif kepada mereka (peniaga makanan) untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu menu untuk Menu Rahmah,” katanya sambil menambah kadar istimewa itu akan dikenakan di semua 68 cawangan mereka di seluruh negara.

Pada Januari 2023, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Salahuddin Ayub memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah untuk restoran menawarkan hidangan pada harga disyorkan RM5.

Sejak inisiatif ini diperkenalkan ia mendapat pelbagai respons dan sambutan.

Sejak beberapa bulan lalu, inisiatif Menu Rahmah dilihat semakin kurang diperkenalkan dengan peniaga merungut harga bahan mentah yang tinggi.

Menu Rahmah masih dapat sambutan

Mydin terus menawarkan Menu Rahmah dengan harga berpatutan di semua 28 pasar raya besar mereka, tujuh hari seminggu.

Ameer berkata, penerimaan Menu Rahmah masih baik dalam kalangan pengguna.

“Masih ada orang membeli makanan yang dijual dan saya percaya ada orang yang memerlukan hidangan enak dengan harga RM5.”

Mydin terus menawarkan Menu Rahmah dengan harga berpatutan di semua 28 pasar raya besar mereka, tujuh hari seminggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2024.

Walaupun tidak dipaksa untuk mengambil bahagian, Ameer berkata restoran dan peniaga kecil perlu mengambil kesempatan daripada inisiatif kad diskaun Menu Rahmah kerajaan.

“Sebagai contoh, jika peniaga mendapat satu karton gula pada harga RM2 lebih murah daripada harga borong, mereka tetap mendapat manfaat.

“Sebab mereka mungkin akan menambah sedikit gula dalam masakan dan selebihnya mereka boleh menambah minuman seperti teh tarik atau lain-lain yang tidak ada dalam Menu Rahmah. Jadi, anda mendapat lebih daripada apa yang anda tawarkan.

“Apa yang mereka (pengusaha makanan) perlu buat adalah memohon kad diskaun Menu Rahmah secara dalam talian kepada KPDN dan sebaik sahaja mereka mempunyai kad tersebut, Mydin akan memberikan mereka kad borong.

“Jadi, sistem kami akan memberikan harga yang lebih rendah kepada pemegang kad daripada harga borong. Kami dipacu sistem, jadi kami boleh menguruskannya,” katanya.

Baru-baru ini Timbalan menteri KPDN Fuziah Salleh mengesyorkan peniaga makanan menyediakan sekurang-kurangnya satu Menu Rahmah di premis mereka.

Sejak pelancaran kad diskaun Menu Rahmah pada November 2023, Fuziah berkata seramai 117 usahawan makanan termasuk 64 peniaga dari Kelantan sudah mendaftar dalam program itu.

Sehingga 14 Jun lalu, sebanyak 2,237 pengusaha Menu Rahmah mendaftar di portal Menu Rahmah untuk menyediakan menu makanan seimbang dan berkhasiat pada harga bawah RM5.

Daripada jumlah itu, seramai 1,129 mengusahakan restoran atau kafe, kedai makanan segera (297), medan selera atau gerai (811).

Berdasarkan pecahan mengikut negeri, Selangor mempunyai bilangan kedai makan yang paling banyak menawarkan makanan berpatutan Menu Rahmah dengan 336, diikuti Pahang (274) dan Sarawak (233).

Negeri lain yang menawarkan makanan Menu Rahmah ialah Perak (208), Pulau Pinang (186), Johor (159), Sabah (144), Kelantan (139), Terengganu (121), Kedah (115), Negeri Sembilan ( 110), Kuala Lumpur (60), Melaka (48), Perlis (38), Putrajaya (38) dan Labuan (28). – 18 Jun, 2024.

Ad test

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts