65 hari ditahan di penjara Kemboja, Yusuf Islam akhirnya dapat temui ibunya

by Oh! Semput


5
SHARES
60
VIEWS
Posted on 14 Feb 2019 00:00:27

BANTEAY MEANCHEY, KEMBOJA: Setelah 65 hari Yusuf Islam ditahan bersama 46 warga Malaysia di negara ini, akhirnya Zunita Sedini bertemu anak sulungnya itu di Penjara Provinsi Banteay Meanchey hari ini (13 Feb).

Pertemuan singkat penuh emosi itu turut memberi kesan kepada tahanan lain yang turut sama mengalirkan air mata menyaksikan dua beranak itu berpelukan melepaskan rindu. 

Kehadiran Cik Zunita, 42 tahun, tidak hanya membawa kegembiraan kepada Yusuf yang berusia 21 tahun, tetapi turut membawa beberapa keping surat yang dikirim anggota keluarga sebagai pengganti diri kerana tidak dapat ikut serta melawat mereka. 

"Hati ibu mana tidak sedih melihat anak berpakaian baju banduan berwarna jingga. Bagaimanapun saya bersyukur Yusuf sihat dan kelihatan tenang dengan kejadian yang menimpa,“ kata Cik Zunita kepada Bernama News Channel di penjara tersebut hari ini. 

"Ada ibu bapa yang menitipkan surat untuk anak mereka dan minta saya pesan agar kesemua mangsa jaga diri sepanjang ditempatkan di penjara." 

Cik Zunita adalah antara anggota keluarga yang turut serta dalam rombongan diketuai Anggota Parlimen Julau, Encik Larry Sng Wei Shien bersama petugas media yang berlepas ke Kemboja bagi melawat tahanan pagi ini. 

Sementara itu, Yusuf yang kelihatan sebak setelah bertemu ibunya melahirkan rasa kesyukuran dan berharap rakyat Malaysia mendoakan beliau dan tahanan lain dibebaskan dalam masa terdekat. 

Dalam pertemuan itu juga Encik Sng sempat menyampaikan pesanan kepada kesemua tahanan mengenai keprihatinan kerajaan terhadap kejadian yang menimpa mereka. 

"Setiap hari media Malaysia mengeluarkan berita mengenai kalian. Kerajaan sedang melakukan perancangan bersama pihak berkuasa Kemboja agar meneliti kes ini dengan sebaiknya.

"Sebaik pulang ke tanah air nanti saya akan bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah untuk menerangkan kepada mereka setiap maklumat yang saya peroleh setelah bertemu anda," kata beliau.

Khamis lepas, Encik Sng dalam satu sidang media mendedahkan 47 rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditahan di sebuah penjara di negara terbabit.

Menurut beliau, mereka ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah selain penahanan tidak dimaklumkan kepada kedutaan Malaysia di sana.

- BERNAMA/AQ/aq

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts