by Oh! Semput
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil menjelaskan kenyataan “enggan duduk semeja dengan DAP” yang sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan pemerhati politik.
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menjelaskan kenyataan tersebut bukanlah membawa maksud secara literal, sebaliknya hanya satu kiasan yang merujuk kepada pendirian BN Johor untuk tidak membentuk kerajaan negeri bersama DAP.
Onn Hafiz mendedahkan rakyat Johor secara umumnya mahukan pentadbiran negeri kekal seperti sedia ada tanpa penglibatan DAP dalam kerajaan negeri.
Beliau turut berpandangan bahawa tidak ada keperluan untuk menukar pentadbiran Johor kepada Kerajaan Perpaduan memandangkan BN telah menunjukkan prestasi yang baik dalam mentadbir negeri itu sejak empat tahun lalu.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Mengulas kritikan yang diterima susulan beberapa kenyataannya sebelum ini, Onn Hafiz berkata beliau memilih untuk kekal tenang dan terus memberi tumpuan kepada tugas sebagai pemimpin negeri.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan berhemah dan profesional akan terus menjadi pegangan dalam menguruskan perbezaan pandangan serta cabaran politik yang dihadapi.
: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)