EKSKLUSIF: Lefthanded, Ramli Sarip adakan konsert di Singapura pada Mac 2020

by Oh! Semput


20
SHARES
257
VIEWS
Posted on 10 Dec 2019 17:00:20

BERITAmediacorp: Gigil.. Menggigil aku... Mungkin inilah reaksi para peminat rock Melayu apabila menerima khabar baik ini: Kumpulan Lefthanded akan adakan konsert di Singapura pada 7 Mac depan!

Konsert itu dipentaskan sebagai menandakan 40 tahun sejak penubuhan Lefthanded.

Lebih istimewa lagi, Papa Rock Singapura, Ramli Sarip, bakal berkongsi pentas dengan kumpulan itu di Capitol Theatre nanti.

Namun setakat ini, belum banyak perincian yang didedahkan, selain tarikh dan tempat konsert, sebagaimana ditulis pada satu poster konsert dengan cogan kata 'Never Before, Never Again' di akaun Instagram dan Facebook pihak penganjur, OG Offgrid Projects.

Demi menjawab pelbagai soalan yang pasti berlegar-legar di fikiran para peminat 'rok kapak', BERITAmediacorp menghubungi pihak penganjur untuk mendapatkan secara ekslusif perinciannya.


(Gambar: OG Off Grid Projects)

LEBIH 1,000 PENONTON, PELUANG 'MEET & GREET'

Dijadualkan pada 8.00 malam, Sabtu, 7 Mac, 'Konsert Lefthanded Seruan x Datuk Ramli Sarip' bakal berlangsung selama dua jam.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, pengurus besar OG Offgrid Projects Idi Qalif Taha mendedahkan: "Konsert ini memberi peminat pilihan sama ada duduk atau berdiri dengan kapasiti dewan yang mampu mencecah sehingga 1,300 penonton."

Bagi mereka yang mungkin berasa tidak cukup puas melepaskan rindu dengan setakat menonton pemuzik pujaan mereka di atas pentas, Offgrid Projects memaklumkan BERITAmediacorp bahawa terdapat juga pakej 'meet & greet'.

Para peminat yang membeli pakej ini akan dapat beramah mesra dengan para anggota Lefthanded dan Ramli Sarip pada hari tersebut dan membawa pulang cenderamata ekslusif Lefthanded untuk dijadikan kenang-kenangan (selain gambar dan video di dalam telefon bijak dan akaun media sosial anda, tentunya).

SOAL 'LINE UP' KUMPULAN

Para peminat rock serantau sedia maklum, Lefthanded melalui banyak perubahan dari segi anggotanya sejak ditubuhkan di Johor Bahru pada 1979.

Sepanjang perjalanan kumpulan ini, ada di antara anggota mereka sudah meninggal dunia seperti pemain gitar Samad (Abdul Samad Mian, yang meninggal dunia pada Oktober 2008), pemain dram Man Dayak (Abdul Rahman Othman, meninggal dunia Mac 2016), dan vokalis pada album 'live' Nafas, Arab (Syed Azlan Syed Abu Bakar, meninggal dunia November 2016).


Nash semasa konsert Lefthanded di Hard Rock Cafe di KL pada 1 Disember 2019 (Gambar: Facebook/Man Keedal Official)

Vokalis utamanya juga pernah bersilih ganti. Selain Arab dan Nash, antara yang pernah menjadi frontman Lefthanded termasuklah Roy, Rahim Maarof dan Ramli Sarip sendiri (album Fanatisme).

Bagi persembahan pada Mac tahun depan, siapa pula yang bakal membuat penampilan?

"Sudah semestinya tunjang kepada persembahan yang bakal berlangsung terdiri daripada Dato Nash (vokal utama) dan Man Kidal (gitar utama)," kata Encik Idi Qalif menjawab pertanyaan BERITAmediacorp.

Turut menyertai 'line up', tambah beliau, adalah Hafiz Dayak yang menggantikan peranan Allahyarham ayahnya sebagai pemain dram, serta Fly (bes), Ritz Metalasia (gitar kedua) dan Roza Rio (keyboard).

Encik Idi menambah: "Akhir sekali, artis undangan yang sudi berkongsi pentas, iaitu Datuk Ramli Sarip yang bakal menyampaikan beberapa buah lagu untuk konsert tersebut."

TERCETUSNYA IDEA ADAKAN KONSERT DI SINGAPURA

Tiada lagi ku dengar kidungmu
Tiada lagi derai tawamu
Hanya kesepian yang kian
Mencengkam jiwaku

Mungkin begitulah rintihan para peminat Lefthanded di Kota Singa, setelah kumpulan itu kali terakhir membuat persembahan di Hard Rock Cafe di sini pada 2008.

Malah menurut Encik Idi, apabila beliau menonton Nash dan Man Kidal membuat penampilan di rancangan televisyen awal tahun ini, "nampak akan kerinduan para peminat terhadap persembahan kumpulan Lefthanded".


Man Kidal (paling kiri) dan Nash (paling kanan) semasa konsert Lefthanded di Kuala Lumpur pada 1 Dis 2019 (Gambar: Facebook/Man Keedal Official)

"Maka itu, (OG Offgrid Projects) sebagai sebuah syarikat penganjur acara yang beroperasi secara aktif di Malaysia dan Singapura, kami rasa terpanggil untuk memenuhi tanggungjawab (menganjurkan konsert) tersebut," kata beliau.

Idea menggandingkan band itu dengan Ramli Sarip pula datang secara semula jadi, memandangkan beliau memainkan peranan penting dalam Evolusi kumpulan itu

"Menariknya, percubaan kami untuk menyatukan Lefthanded bersama 'sifu' kumpulan ini disambut baik oleh Datuk Ramli Sarip, yang dianggap 'mastermind' kepada hala tuju dan konsep perjuangan muzik Lefthanded, sebagaimana diakui oleh Nash dan Man Kidal Sendiri," kongsi Encik Idi bersama BERITAmediacorp.

Selain pernah menjadi vokalis kumpulan bagi album Fanatisme, Ramli dan kakitangan A & R Warner Music, Naseer Abu Kasim, sebenarnya yang bertanggungjawab mendekati Lefthanded untuk menawarkan kontrak rakaman, kongsi Man Kidal dalam wawancara bersama Harian Metro pada Oktober 2016.

“Lefthanded sebenarnya berterima kasih kepada Ramli yang banyak membantu kami. Selain sebagai penerbit, Ramli banyak mencipta lagu serta menggubah muzik bersama-sama kami," kata virtuoso gitar itu seperti dipetik akhbar Malaysia tersebut.


(Gambar: Facebook/Ramli Sarip Official)

Bagi yang berniat ke Capitol Theatre pada Mac nanti, ia tentu sekali satu acara istimewa, kerana "buat julung-julung kalinya, Lefthanded bakal disatukan bersama Datuk Ramli Sarip dalam sebuah konsert berskala besar, iaitu dalam konteks audiens di Singapura," kongsi Encik Idi.

QABUL HAJAT IMBAU NOSTALGIA

Jadi apakah yang boleh dijangkakan para peminat apabila Bertemu di Dalam Rock n Roll kelak?


Encik Idi berkongsi, Lefthanded yang baru selesai membuat persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 1 Disember, bakal menyenarai pendek lagu-lagu daripada album paling awal Battle of the Bands (album kompilasi bersama kumpulan-kumpulan lain) sehingga album original terakhir Syurga & Neraka.

Namun, beliau memberi jaminan pemilihan lagu akan "mengambil kira sentimen nostalgia" zaman kegemilangan band tersebut dan bakal menampilkan lagu-lagu hit seperti Keadilan, Debunga Wangi, Tiada Lagi Kidungmu dan banyak lagi.

Selepas konsert berskala besar ini, adakah para peminat boleh menjangkakan album baru oleh Lefthanded? Soalan itu mungkin tidak terjawab lagi buat masa ini.

Namun Encik Idi menekankan kepada BERITAmediacorp bahawa memandangkan ia konsert besar pertama yang menggandingkan Lefthanded dan Ramli Sarip, "peminat seharusnya mengambil peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Never Before, Never Again".


Gambar lama kumpulan Lefthanded (Gambar: Facebook/Man Keedal Official)

Tiket-tiket bagi 'Konsert Lefthanded Seruan x Datuk Ramli Sarip' boleh dibeli di laman www.ogoffgrid.com bermula 12 Disember, dari harga S$88. 

- BERITAmediacorp/tq

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts