Empat dekad KL jadi Wilayah Persekutuan

by Oh! Semput


2
SHARES
29
VIEWS
Posted on 01 Feb 2018 14:01:49

alt

HARI ini genaplah 44 tahun sejak Kuala Lumpur (KL) menjadi sebuah wilayah yang ditadbir terus oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam masa lebih empat dekad ini, wajah KL berubah dengan begitu mendadak sekali. 

Jika pada satu ketika dahulu terdapat banyak kampung, rumah setinggan dan kawasan hutan di KL, kini ia dipenuhi bangunan pencakar langit dan lalu lintas yang sentiasa sesak.

Tetapi kemajuan KL tidak bererti semua warganya menikmati pembangunan atau mutu kehidupan yang serupa. 

Kalau dulu ramai yang mampu membeli (atau membina) rumah sendiri, hari ini harga rumah di KL yang melambung teramat tinggi membuatkan rumah-rumah mampu milik pun disebut-sebut sebagai “rumah mampu tengok.”

Kalau dulu gaji beberapa ribu malah ratusan ringgit pun cukup untuk menyara diri dan keluarga, hari ini ramai yang mungkin terpaksa bekerja dua tiga pekerjaan untuk terus hidup di bandaraya utama negara.

Kalau dulu jumlah kenderaan persendirian yang keluar masuk KL tidak begitu banyak, hari ini perjalanan harian mungkin memakan masa berjam-jam walau dengan pengangkutan awam, apatah lagi bila berlaku banjir kilat!

Beberapa masalah ini seharusnya ditangani pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pelaksanaan dasar-dasar yang lebih menyeluruh. Yang jelas, institusi DBKL itu sendiri perlu ditambah baik dan direformasi. 

Maka saya terpanggil untuk mencadangkan empat perkara sempena lebih empat dekad KL menjadi Wilayah Persekutuan (WP):

1. Mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020

Antara perkara pokok dalam memastikan pembangunan KL adalah lestari dan seimbang adalah pelan induk pembangunan yang menjadi asas perancangan bandar, iaitu Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020. Proses bagi pelan ini telah bermula sejak 2007, namun di bawah tiga Datuk Bandar dan dua Menteri Wilayah, pelan tersebut masih gagal diwartakan.

Mengapa lebih 10 tahun kemudian pihak DBKL dan Kerajaan Pusat masih tiada kemahuan politik atau ‘political will’, hingga terpaksa memberi pelbagai alasan termasuk melanjutkan pelan tersebut ke 2050?

Jika Pakatan Harapan memenangi PRU14 kelak, saya pasti antara perkara yang akan diutamakan di KL ialah mengemaskini dan mewartakan PBKL2020. Pengemaskinian PBKL2020 harus meliputi pemikiran semula konsep dan rekabentuk PPR dan PA untuk memastikan kesihatan dan keselamatan masyarakat terjamin, terutama untuk mengelak kejadian seperti pembunuhan adik S Sathiswaran di PPR Seri Pantai 15 Januari lalu dari berulang.

2. Pertingkatkan peratusan peruntukan pembangunan DBKL, dan libatkan ahli Parlimen dalam proses bajet tahunan

Setiap tahun, DBKL memperuntuk berbilion ringgit untuk pengurusan dan pembangunan Kuala Lumpur. Dari 2015 ke 2018, bajet DBKL secara purata menyaksikan sekitar 60% bajet tahunan diguna untuk perihal pengurusan manakala sekitar 40% lagi untuk pembangunan. 

Ini tidak memadai dan harus ditingkatkan 4-5% lagi, memandangkan penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan raya, lif-lif di kawasan perumahan PPR & PA, dan kemudahan-kemudahan awam yang lain perlu dipertingkat. Sebagai contoh, PPR Seri Pantai telah dijanjikan lif baru sejak Julai 2017, namun hingga ke hari ini lif tersebut tidak ditukar lagi.

Pada masa yang sama, dokumen bajet tahunan DBKL itu sendiri perlu diberi kepada umum supaya orang ramai dan terutamanya ahli Parlimen di WP KL akan dapat meneliti dan memperinci penggunaan bajet DBKL setiap tahun. Ahli Parlimen WP KL juga perlu dilibatkan dengan lebih mendalam apabila bajet tahunan dirangka, memandangkan mereka merupakan wakil rakyat yang dipilih dan bukannya dilantik.

3. Pendemokrasian Kuala Lumpur

Pada ketika ini, KL tidak ada kerajaan negeri atau pilihan raya kerajaan tempatan. Walaupun begitu, oleh kerana warga KL membayar cukai pintu dan cukai tanah yang menjadi sebahagian dari hasil kutipan DBKL, maka mengikut prinsip “tiada cukai tanpa perwakilan” (no taxation without representation), setidak-tidaknya ahli Parlimen WP KL perlu diangkat sebagai wakil sah rakyat ke dalam struktur DBKL itu sendiri.

Pada masa yang sama, sehingga satu masa apabila KL bersedia untuk melaksana pilihanraya kerajaan tempatan termasuk bagi memilih Datuk Bandar, pemegang jawatan Datuk Bandar sekarang perlu mengambil sikap yang lebih terbuka dengan mengadakan perjumpaan “townhall” sekurang-kurangnya sekali sebulan di setiap kawasan Parlimen di KL. Ini untuk memastikan suara pembayar cukai di KL itu didengari sendiri oleh Datuk Bandar.

4. Pembikinan dasar berasaskan kajian dan data, bukan naluri politik semata-mata

Pada waktu ini, pelbagai dasar DBKL seakan-akan dibuat tanpa kajian dan data yang terperinci. Saya masih ingat pertemuan saya bersama ahli Parlimen WP KL dengan Datuk Bandar sebelum caj parkir di KL dinaikkan. 

Pada waktu itu, Datuk Bandar ada dipetik media sebagai berkata bahawa caj parkir dinaikkan untuk memastikan jumlah kenderaan yang memasuki KL berkurangan. Apabila saya bertanya adakah beliau membuat kenyataan berdasarkan data, kajian atau pertemuan dengan agensi kerajaan lain, beliau berkata beliau tidak merujuk mana-mana pihak lain.

Pendek kata, caj parkir meningkat tapi hingga ke hari ini kita tidak melihat kurangnya jumlah kenderaan yang memasuki KL.

Begitu juga dengan laluan basikal yang memakan belanja RM4 juta (bukan RM4 bilion ya), apakah data dan kajian yang diguna pakai untuk meyakinkan DBKL sebelum melaksanakan projek ini?

Akhir sekali, saya harap Hari Wilayah tahun ini mengingatkan kita bahawa Kuala Lumpur ini perlu kita bangunkan bersama. Ia bukan milik DBKL, parti-parti politik, mahupun para peniaga. Kuala Lumpur ini kita yang punya. Marilah kita bangkit dengan penuh harapan untuk bina sebuah ibu kota yang lebih adil, lebih lestari, dan lebih baik untuk semua. – 1 Februari, 2018.

* Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi PKR dan Ketua Pemuda Lembah Pantai.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts