England kempunan lagi, gagal akhiri penantian 52 tahun

by Oh! Semput


HOME Posted on 11 Jul 2018 23:02:35


Tunduk kepada 'kedegilan' Croatia yang bangkit untuk menang 2-1 dalam masa tambahan

12 Julai 2018 4:40 AM

MOSCOW - Hajat England untuk menamatkan penantian 52 tahun mereka menjulang gelaran juara Piala Dunia buat kali kedua hancur berkecai selepas dimalukan Croatia 1-2 pada aksi separuh akhir edisi 2018 di Stadium Luzhniki, Moscow, Rusia awal pagi ini.

Mario Mandzukic muncul wira Croatia apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada masa tambahan selepas gol babak kedua Ivan Perisic membatalkan kelebihan England yang mendahului awal babak pertama hasil gol sepakan percuma Kieran Trippier.

Kekalahan ini bermakna England terpaksa menunggu empat tahun lagi bagi menamatkan kemarau panjang mereka setelah dua kali tersekat di separuh akhir, sebelum ini ketika tewas kepada juara Jerman pada edisi 1990 di Itali.

Kali terakhir skuad The Three Lions melepasi separuh akhir ialah ketika menewaskan Portugal 2-1 di mana mereka menjuarai gelaran dunia sulung sebagai tuan rumah pada edisi 1966.

Bagi Croatia pula, ia merupakan satu pencapaian terbaik bagi pasukan No. 20 dunia itu untuk mara ke final buat kali pertama dalam sejarah negara mereka.

Mereka sebelum ini hampir melakukannya pada edisi 1998 di Perancis, namun tersekat di separuh akhir selepas tunduk kepada tuan rumah tersebut dan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Namun, pasukan yang paling sukar untuk menelan kepahitan dalam perlawanan ini ialah England.

Selepas hampa dalam 13 edisi sebelum ini, England dilihat berpeluang untuk membawa pulang trofi paling diidamkan mereka itu menerusi skuad yang dilabel sebagai 'generasi emas' baru mereka.

Kemaraan mereka di Rusia ini juga dibantu dengan percaturan laluan mudah oleh Southgate yang mana kekalahan mereka di peringkat kumpulan kepada Belgium menyaksikan mereka mengelak daripada bertemu pasukan pilihan lain seperti Brazil, Perancis dan Belgium di saingan kalah mati sehingga ke separuh akhir.

Pasukan No. 12 dunia ini turun pada halangan terakhir sebelum ke final sebagai pasukan pilihan untuk menang ke atas Croatia.

Berdasarkan tujuh rekod pertemuan sebelum ini, England sepatutnya tiada masalah untuk melakukannya kerana telah memenangi sebanyak empat kali ke atas Croatia, seri sekali dan kalah dua kali.

Kali terakhir mereka bertemu di kejohanan besar ialah pada peringkat kumpulan Euro 2004 di mana England menang 4-2.

Namun, kali ini, mereka mengulangi sejarah pada 28 tahun lalu di mana skuad ketika itu yang dibarisi pemain seperti Gary Lineker, Peter Beardsley, David  Platt dan Stuart Pearce gagal ke final setelah kecundang di tangan Jerman.

Pada aksi pagi ini, England berjaya menguasai sepenuhnya babak pertama dan 20 minit awal babak kedua menerusi gandingan Raheem Sterling, Harry Kane dan Dele Alli.

Namun, percubaan sepakan percuma Trippier pada jarak 25 ela di luar pintu gol yang berjaya memberi kelebihan kepada England dan meskipun mereka berpeluang menambah beberapa gol lagi, nasib jelas tidak memihak kepada mereka.

Croatia pula yang dilihat serba tidak menjadi sepanjang babak pertama dan awal babak kedua sebelum ini mula bangkit pada akhir 25 minit permainan.

Semuanya bermula dengan jaringan penyamaan Perisic pada minit ke-68, sekali gus menyuntik keyakinan rakan sepasukannya untuk terus memburu kemenangan.

Meskipun kedua-dua pasukan kemudian saling serang menyerang, kedudukan terus kekal sehingga 90 minit permainan sebenar sebelum diteruskan ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan dilihat mula keletihan dan banyak melakukan kesilapan sepanjang masa tambahan, namun Croatia dilihat lebih bernasib baik apabila tandukan ke belakang oleh Perisic berjaya disambar Mandzukic yang merembat masuk gol kemenangan mereka menewaskan penjaga gol Jordan Pickford. - K! ONLINE

's

SUMBER ASAL


Norlida Ishak Shop

Related News


Leave a Comment: