Faliq Shazwin, Muhd Hairi antara 5 penerima Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam

by Oh! Semput


7
SHARES
88
VIEWS
Posted on 19 Nov 2019 19:00:53

SINGAPURA: Faliq Shazwin Alwi, 22 tahun, sedang menunggang motosikalnya dalam perjalanan pulang ke rumah pada 2.00 pagi 28 Ogos lalu apabila beliau ternampak seorang lelaki melarikan diri daripada sekumpulan individu di Stagmont Ring.

Berhasrat membantu lelaki berkenaan daripada apa yang disangkakan sekumpulan samseng, Encik Faliq menghentikan motosikalnya di tepi jalan, dengan niat melindungi lelaki itu.

Namun dalam usaha membantu, Encik Faliq kemudian mendapati bahawa lelaki itu bukanlah seorang mangsa kumpulan samseng seperti yang disangka, tetapi sebenarnya seorang suspek yang dikejar polis berpakaian biasa.

"Apabila saya menghampiri mereka, lelaki yang menahan suspek itu memekik bahawa beliau seorang anggota polis.

"Dari situ barulah saya sedar suspek tersebut sedang cuba melarikan diri dan saya berhasrat menghulurkan bantuan (bagi menangkap suspek)," kongsi Encik Faliq.


Encik Faliq Shazwin Alwi diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam oleh AC Leon Chan. (Gambar: SPF)

Yang pasti, naluri melindungi dan menjaga keselamatan awam sudah berputik dalam diri Encik Faliq sejak dua tahun lalu. Beliau sebelum ini juga adalah seorang bekas anggota polis Perkhidmatan Negara (NS).

Lebih menarik lagi, Encik Faliq baru sahaja tamat menjalani NS kurang tiga minggu daripada hari insiden tersebut.

"Saya berhasrat membantu kerana saya merasakan sebagai seorang bekas anggota polis NS, saya harus membantu sesiapa saja yang saya rasa memerlukan bantuan.

"Tambahan pula, saya juga pernah menangkap suspek semasa zaman NS. Dengan kemahiran dan pengalaman yang saya timba, saya yakin dapat memberi respons sekiranya terdapat sebarang bahaya," jelas Encik Faliq.

Suspek berkenaan ditangkap di bawah Akta Imigresen dan juga kerana memiliki rokok haram.

Bagi menghargai tindakan beliau menjaga ketenteraman awam, Encik Faliq diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam di Divisyen Polis Woodlands pada Selasa (19 Nov).

Beliau yang juga pernah menerima sebilangan anugerah Komander semasa menjalani NS berkata bahawa anugerah tersebut meyakinkan beliau bahawa Pasukan Polis Singapura (SPF) menghargai usaha anggota masyarakat yang membantu polis mencegah, mengelak dan mengesan jenayah.

"Ia bertindak sebagai peringatan bagi saya supaya terus berwaspada terhadap sekitaran dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," ujar beliau.

MUHD HAIRI TURUT TERIMA ANUGERAH POLIS

Selain Encik Faliq, lagi tiga orang awam yang lain turut menerima Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam tersebut dimajlis yang sama.


Encik Muhammad Hairi Abdul Razak diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam oleh AC Leon Chan. (Gambar: SPF)

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Muhammad Hairi Abdul Razak. Beliau membantu menahan seorang lelaki yang melarikan diri daripada polis di Woodlands Street 13 pada 6 November lalu.

Suspek itu kemudian ditangkap kerana disyaki bagi kesalahan berkaitan dadah.

BANTU HALANG JADI MANGSA PENIPUAN CINTA INTERNET

Dalam satu lagi kes, para pekerja United Overseas Bank (UOB) Cik Cheo Yi Love dan Encik Roy Cheong mengelak seorang pelanggan wanita daripada kehilangan S$12,500 kepada penipuan cinta internet pada 30 Julai lalu.

Menurut kenyataan media, wanita itu membuat kawan dengan seorang lelaki secara online dan diminta memindahkan wang untuk menerima sebuah bungkusan.

Selepas menerima S$3,500, wanita berkenaan dimaklumkan beliau perlu mengirim lagi S$12,500 bagi mendapatkan sijil pelepasan bagi bungkusan itu.


Para penerima anugerah dengan AC Leon Chan. (Gambar: SPF)

Apabila wanita itu ke cawangan UOB untuk melakukan kiriman wang, Cik Cheo dan Encik Cheong mengesyaki wanita itu mungkin menjadi mangsa penipuan. Selepas menghampiri pelanggan itu, mereka kemudian berhasil menghentikan transaksi itu dan menasihatinya agar membuat aduan polis.

Komander Divisyen Polis Woodlands, Penolong Pesuruhjaya Polis Leon Chan berkata: "Mereka adalah contoh bagaimana orang ramai dapat terus mengesan kemungkinan mangsa jenayah atau dengan beraninya tampil membantu polis. Kami berharap tindakan mereka memberi inspirasi kepada individu lain bagi memastikan sekitaran masyarakat mereka selamat."

ABU ARIS TAHAN PENCURI

Di Divisyen Polis Clementi pula, Encik Abu Aris Mohamed Majnoon turut diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam dalam satu majlis penghargaan berasingan.


Encik Abu Aris S/O Mohamed Majnoon diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam oleh AC Jarrod Pereira. (Gambar: SPF)

Encik Aris sedang berada di kolong bloknya pada 7 September lalu apabila beliau ternampak seorang lelaki mencurigakan.

Beliau mengecam bahawa lelaki itu juga berkelakuan mencurigakan di luar unit jirannya sebelum ini dan bertindak mengekori lelaki tersebut.

Pada masa yang sama, Encik Aris memeriksa rakaman CCTV menggunakan telefon bimbitnya dan melihat lelaki berkenaan mengambil sesuatu daripada luar unit jirannya menerusi rakaman itu dan meletakkannya ke dalam beg.

Encik Aris terus mengekori suspek berkenaan dan berjaya menahannya di perhentian bas sebelum menghubungi polis, yang kemudian menangkap lelaki itu.


Gambar berkumpulan para penerima Anugerah Kerjasama Masyarakat dengan AC Jarrod Pereira. (Gambar: SPF)

Sehubungan itu, Mount Faber Leisure Group, Keselamatan Kampus Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Sekolah Menengah Queensway juga diberikan Anugerah Kerjasama Masyarakat bagi menghargai sumbangan penting masing-masing dalam membanteras jenayah di sekitar kawasan Divisyen Polis Clementi.

Komander Divisyen Polis Clementi, Penolong Pesuruhjaya Polis Jarrod Pereira berkata: "Individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan yang menunjukkan teladan ini membuat sumbangan penting dalam membasmi jenayah."  

- BERITAmediacorp/im

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts