Filem Tak Laku, Ahmad Idham Belum Hilang Akal

by Oh! Semput


HOME Posted on 28 Feb 2018 13:01:47



Ahmad Idham (kanan) mendapat sokongan teman-teman baik sewaktu menghasilkan filem Mat Moto Otai, dari kiri Datuk Sri Eizlan Yusof, Opie Zami dan Cat Farish.

 

PENGIKUT industri filem tempatan melihat pada angka jumlah kutipan setiap filem arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 44, sejak kebelakangan ini yang tidak mencapai RM1 juta di pawagam, dikatakan rendah dan tidak laku.

Namun hakikatnya, produser dari Ahmad Idham Film Academy (AIFA) itu punya alasan tersendiri tegas mengatakan filem keluarannya tidak gagal.

Untuk rekod, antara filem arahan beliau sebelum ini, Mat Moto, Mat Moto Otai serta Minah Moto. Terkini, filem Hantu Wangan bakal menjengah pawagam bermula 22 Mac depan.

“Apa yang saya boleh katakan, pulangan untuk kesemua filem arahan saya ketika ini boleh dikata menguntungkan.

“Saya boleh katakan, filem-filem tersebut mencapai pungutan lebih RM1 juta, walaupun bukan berdasarkan jumlah jualan tiket di pawagam.

“Pungutan itu termasuklah pulangan yang diperolehi hasil jualan di pelbagai platform atas talian, seperti di Astro First Eksklusif juga saluran lain di televisyen berbayar.

“Filem-filem arahan saya okey… dari pulangan, semua boleh buat duit. Orang hanya nampak kutipan di pawagam sahaja, memanglah rendah.

“Kita banyak platform atas talian yang mampu beri pulangan duit terhadap jualan filem. Ianya bagi saya menguntungkan,” jelas hero drama hit tahun 1990-an, Cinderella kepada Mangga Media.

Filem terbaharu arahan dan terbitan Ahmad Idham, Hantu Wangan bakal beredar di pawagam 22 Mac ini.

Ahmad Idham di awal pembabitannya dalam dunia pengarahan filem dan drama, dilihat sebagai pengarah muda harapan.

Bakat pengarahan beliau bermula di Kuasatek Pictures, antara produksi gergasi yang banyak mengeluarkan drama hit berkualiti sekitar tahun 1990-an.

Beliau diberi peluang oleh Kuasatek Pictures mengarah filem Mr Cinderella pada 2002. Antara filem popular yang menerima sentuhannya, Jangan Pandang Belakang, Impak Maksima (2007) serta Adnan Sempit (2009).

Drama popularnya, Cinta Antara Benua (1997), Cinderella (1998) serta Romeo & Juliet (1999). Penglibatan awalnya sebagai pelakon tambahan menerusi filem KLU pada 1994.

Pengiktirafan yang diraih, Anugerah Bintang Popular 1997/98 (Artis Baru Popular), Anugerah Bintang Popular 1999 (Pelakon TV Lelaki Popular), Anugerah Skrin 2003 (Pengarah Terbaik  – Telefilem) serta Festival Filem Malaysia 2003 (Pengarah Harapan).

Tambah Idham,”Saya sedikit kecewa apabila ada segelintir netizen terus mengecam filem-filem arahan saya.

“Namun, sudah ramai yang bijak menilai dan mengetahui jumlah kutipan pawagam bukan penentu filem berjaya mahupun gagal.

“Perlu tahu, kita banyak platform atas talian yang mampu beri pulangan bagus. Kalau pulangnnya tidak menguntungkan, takkan saya masih terus buat filem baharu?

“Cuba fikir logik, adakah saya sudah hilang akal untuk terus keluarkan filem jika pulangan daripada filem-filem sebelum ini gagal?” ungkapnya lagi.

Filem Tak Laku, Ahmad Idham Belum Hilang Akal Mangga Media.

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...