BN gagal, PH berjaya turunkan kadar tol 18% - Tony Pua

by Oh! Semput


2
SHARES
28
VIEWS
Posted on 22 Jan 2020 16:01:20


Penstrukturan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) mulai 1 Feb ini merupakan kali pertama berlaku pengurangan tol dalam sejarah lebuh raya itu tanpa beban pampasan oleh kerajaan, sekali gus mewujudkan penjimatan RM26 bilion yang boleh memberi pelbagai faedah kepada rakyat dan pembangunan ekonomi.

Ia merupakan “triple win” apabila pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun tol sebanyak 18 peratus dengan tiadanya peningkatan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat pada 2038, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Tony Pua.

Tegasnya apa yang gagal dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini bakal ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sambil mengingatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai dasar lebuh raya PLUS di bawah kerajaan BN yang sering menyaksikan peningkatan kadar tol, Pua berkata pada zaman BN kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih RM3 bilion kepada konsesi untuk membekukan kadar tol.

"Nampaknya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah pening dan hilang akal memikirkan bagaimana nak pertahankan dasar lebuh raya bertol kerajaan BN yang menganiayai rakyat,” katanya.

Menurut Pua, di bawah kerajaan PH juga kadar tol tidak akan meningkat mengikut perjanjian sehingga tamat konsesi, yang antaranya menyaksikan kadar tol bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar kekal RM45.50 pada tahun 2038, hampir separuh daripada harga yang terpaksa dibayar pengguna jika mengikut formula Najib iaitu RM82 pada tahun yang sama.

Pada zaman BN kadar tol akan meningkat sekurang-kurangnya lima peratus setiap tiga tahun mengikut perjanjian konsesi, katanya sambil memberi contoh pada 1999 tempoh konsesi PLUS dilanjutkan selama 12 tahun dari 2018 hingga 2030, dengan kenaikan kadar tol 26 peratus setiap tiga hingga lima tahun sehingga 2016.

Pada 2005 pula, tempoh konsesi lebuh raya PLUS dilanjutkan sekali lagi selama lapan tahun dari 2030 sehingga 2038, dengan kadar tol akan meningkat 10 peratus setiap tiga tahun manakala pada 2011, kadar tol lebuh raya PLUS distruktur semula supaya kadar tol meningkat lima peratus setiap tiga tahun.

Selain itu kesemua konsesi lebuh raya lain bawah kumpulan PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), Lebuhraya Laluan Kedua Johor-Singapura (LINKEDUA) dan Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH) – dilanjutkan sehingga tahun 2038 dan juga dikenakan jadual kenaikan masing-masing.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Jan mengumumkan kadar tol PLUS akan diturunkan 18 peratus mulai 1 Feb tahun ini melibatkan semua lebuh raya kendalian PLUS dengan hasrat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pua berkata langkah kerajaan PH itu akan membolehkan rakyat seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak menerima manfaat bernilai lebih RM26 bilion hasil penjimatan bayaran pampasan, dan pada masa sama, hak serta kepentingan pemegang saham syarikat PLUS - Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja - tidak terjejas.

“Bawah kerajaan BN, walaupun konsesi dilanjutkan beberapa kali, tidak pernah sekali pun kadar tol menurun, malah kadar tol masih akan meningkat setiap tiga tahun mengikut perjanjian konsesi,” katanya.

"Ini bermaksud nilai aset PLUS tidak akan merosot dalam penstrukturan ini, dan bayaran dividen daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada pihak pekerja Malaysia tidak akan terjejas," katanya.

Menyelar tindakan Najib yang kini rajin memutar-belitkan isu lebuh raya bertol, Pua berkata pemansuhan kutipan tol di tiga plaza tol PLUS mulai 2018 yang sering diungkit bekas perdana menteri itu sebagai "pencapaiannya”, sebenarnya telah mengikat kerajaan dengan bayaran pampasan sebanyak RM856 juta yang masih terhutang kepada PLUS.

“Nasib baik dengan pelan yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, ‘hutang’ ini daripada kerajaan kepada PLUS akan dilupuskan dan tidak perlu lagi dibayar.

“Ini secara langsung membolehkan kerajaan Persekutuan untuk memperuntukkan semula jumlah ini kepada lain-lain perbelanjaan yang lebih memanfaatkan rakyat seluruh Malaysia,” katanya.

: Bernama

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts