Gesaan Umno boikot KK Mart sia-sia, kata penganalisis

by Oh! Semput


5
SHARES
65
VIEWS
Posted on 03 Apr 2024 01:00:43

GESAAN Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang tidak henti-henti menyeru untuk memboikot KK Mart tidak semestinya akan mengembalikan sokongan Melayu terhadap parti itu, kata penganalisis politik.

Pada masa sama, satu kumpulan perniagaan memberi amaran gesaan boikot akan menyebabkan kesan terhadap ekonomi dan perniagaan secara amnya.

Dengan tiga kedai KK Mart diserang bom petrol setakat ini, mereka takut keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan membawa kepada sesuatu yang lebih membimbangkan akan berlaku.

Penganalisis politik Hisomudin Bakar berkata retorik Akmal yang berterusan berkenaan isu itu tidak akan mengembalikan semula sokongan orang Melayu terhadap Umno.

Beliau berkata gesaan Akmal untuk melaksanakan gerakan boikot itu adalah “membosankan”.

“Saya simpati dengan Akmal kerana beliau terlalu berusaha keras untuk mengembalikan sokongan Melayu kepada Umno.

“Tetapi menggunakan isu stokin untuk kempen boikot ini dan ‘perang’ emosi Akmal itu nampaknya tidak memberi kesan besar.

“Hanya sedikit saja menyahut gesaan itu. Majoriti yang senyap adalah kumpulan besar, dan berkenaan isu ini mereka tidak akan turut serta, tidak seperti boikot produk Israel.

“Maka, gesaan Akmal untuk boikot KK Mart agak membosankan,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu kepada The Malaysian Insight.

KK Mart dikecam hebat susulan didapati menjual stokin yang tertera tulisan “Allah” di salah satu outletnya iaitu di Bandar Sunway.

Pengasasnya KK Chai dan isteri Loh Siew Mui, yang juga pengarah syarikat didakwa di mahkamah susulan pendedahan itu. Mereka mengaku tidak bersalah di mahkamah dan memohon maaf berkenaan isu itu.

Akmal menjadi penggerak dalam boikot KK Mart dan mendesak pemilik rangkaian kedai itu dihukum.

Beliau mengugut boikot lebih keras akan dilaksanakan jika rangkaian kedai runcit itu gagal meletak kain rentang di semua 881 kedainya di seluruh negara, untuk mohon maaf atas penjualan stokin berkenaan selepas berkata permohonan maaf dikemukakan syarikat itu tidak mencukupi.

Kemarahan terhadap KK Mart setakat ini menyaksikan tiga outlet diserang bom petrol, dengan terbaru di Kuching, Sarawak pada Ahad.

Insiden pertama dan kedua berlaku di Perak dan Pahang pada 26 dan 29 Mac.

Setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi polis sedang menyiasat serangan itu. 

Usaha Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam gerakan boikot KK Mart dan cubaannya untuk memenangi hati orang Melayu hanya sia-sia, kata penganalisis. – Gambar Facebook, 3 April, 2024.

Tiada sokongan sekutu, PAS

Hisomudin berkata usaha Akmal dalam gerakan boikot itu dan cubaannya untuk memenangi hati orang Melayu hanya sia-sia.

Beliau berkata parti Melayu terbesar itu sudah hilang kuasanya terhadap masyarakat Melayu.

“Hakikatnya jelas dapat dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan enam pilihan raya negeri yang lalu.

“Kempen ekstrem seperti itu yang reputasinya merosot tidak akan dapat menarik minat majoriti Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata pada masa lalu Umno pernah mencuba taktik serupa, merujuk kepada pelbagai karenah dan protes dilakukan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos.

“Jamal berada di depan, menyerang kerajaan Pakatan Rakyat pada masa itu dengan demonstrasi di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dan malah pernah datang dengan hanya bertuala dan berus gigi ketika isu bekalan air di negeri itu.

“Tambahan lagi, gerakan Baju Merah hebat ketika itu. Namun, Umno Selangor masih kalah bila berperang di kertas undi.

“Malah, gerakan berhaluan kanan tidak ada kesan terhadap majoriti pengundi Melayu di Selangor,” katanya.

Gesaan Akmal untuk boikot itu juga tidak mendapat sokongan daripada PAS, menunjukkan parti yang mengawal majoriti pengundi Melayu tidak bersama-sama Akmal dalam gerakan ini.

Sekutu Umno, PKR juga menggesa Akmal tidak keterlaluan dalam isu itu. Awal minggu ini, Pemuda PKR menggesa Akmal bertanggungjawab dan menghentikan retorik berkaitan isu stokin KK Mart.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Nabil Hakimi berkata ahli politik sepatutnya menenangkan keadaan dan bukan mengapi-apikan lagi. 

Sementara itu, Hisomudin berkata tindakan Akmal boleh memberi kesan burut terhadap kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya kecil Kuala Kubu Baru akan datang, terutama daripada pengundi bukan Melayu.

“Agak menarik untuk melihat reaksi pengundi bukan Melayu pada masa ini kerana Umno adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan,” katanya.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat tergempar dengan Majlis Keselamatan Negara susulan insiden terbaru serangan bom petrol di rangkaian KK Mart.

Lim berkata tindakan Akmal berterusan menggunakan isu stokin itu akan hanya menambah ketegangan dalam negara. 

Kesan lebih besar

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Bersekutu (ACCCIM) turut menggesa semua pihak berhenti memboikot KK Mart.

Presidennya, Senator Low Kian Chuan berkata ia tindakan tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan bagi mengelak perkara itu berlanjutan dan menyebabkan ketegangan kaum. – 3 April, 2024.

Ad test

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts