Gudang di Sungei Kadut terbakar; 2 pekerja 'cedera ringan'

by Oh! Semput


HOME Posted on 24 May 2020 00:01:29



SINGAPURA: Sekitar 100 anggota bomba dikerahkan apabila satu kebakaran berlaku di sebuah gudang di Sungei Kadut Way pada Sabtu (23 Mei), menyebabkan dua pegawai mengalami "kecederaan ringan".

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan mereka dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada pukul 7 malam.

"Sebaik sahaja SCDF tiba di tempat kejadian, api sedang marak di gudang dua tingkat itu. SCDF dengan segera mengerahkan pegawai dan kenderaannya untuk mengepung dan mengawal kebakaran itu," katanya dalam satu catatan Facebook.

Menurut SCDF, kebakaran itu melibatkan kenderaan termasuk besi buruk dalam gudang itu.

Dua kakitangan gudang yang "cedera ringan" dirawat oleh anggota paramedik SCDF. Menurutnya, mereka enggan dibawa ke hospital.

Gambar dan video yang dikirimkan ke Mediacorp menunjukkan kepulan asap hitam yang tebal menjulang ke udara pada Sabtu malam.

Jurubina Mark Bagunas, 38 tahun yang tinggal dekat tempat kejadian, melaporkan melihat kepulan asap tebal dari kawasan kebakaran pada sekitar pukul 7 malam.

Encik Bagunas berkata beliau terdengar apa yang dianggap seperti letupan berganda, disusuli kepulan asap yang masih dilihat sekitar sejam kemudian.

Sebanyak 19 kenderaan kecemasan dikerah dalam operasi itu.

Pihak berkuasa dilihat berada di Sungei Kadut Way ketika Mediacorp berada di tempat kejadian pada sekitar pukul 8.20 malam.

Api masih lagi marak ketika itu dengan anggota SCDF cuba memadamkan kebakaran. Kedua-dua pintu masuk ke gudang tertutup.

"Pada kemuncak operasi ini, tujuh jet air dan buih serta mesin memadam api digunakan untuk mengawal kebakaran," menurut SCDF.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan pada pukul 9.15 malam.

SCDF sedang menyiasat punca kebakaran.

- CNA/HA/ha

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...