'Hantar terus penjara, takut lompat pagar' - Markas scammer China diserbu, wang tunai RM2.5 juta ditemui dalam beg pakaian

by Oh! Semput


5
SHARES
59
VIEWS
Posted on 18 Oct 2020 05:01:56

Sindiket pelacuran, penipuan dan urus niaga mata wang krypto bagi pasaran di China berjaya dibanteras Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga membawa kepada penemuan wang tunai kira-kira RM2.5 juta. 


Sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Desa Bukit Tiara malam tadi, menemui wang tunai tersebut yang diletakkan di dalam tiga beg pakaian. 


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan di rumah berkenaan dilakukan susulan serbuan di sebuah kondominium di Kajang, Selangor pada jam 2 petang semalam. Sebanyak tujuh lelaki dan seorang wanita warga China berusia 21 hingga 28 tahun ditahan. 


Dalam serbuan di lokasi kedua pula, lapan individu termasuk dua warga tempatan berusia 22 hingga 48 tahun ditahan.


Semakan pada dua komputer riba di unit kondominium di Kajang itu mendapati, sindiket terbabit melakukan aktiviti mempromosi kegiatan pelacuran di China, selain terdapat kegiatan seakan penipuan yang mensasarkan mangsa di negara itu. 


Pemeriksaan pada komputer di rumah Jalan Desa Bukit Tiara pula mendapati, terdapat aplikasi yang menjurus kepada urus niaga mata wang krypto. 


Polis percaya, sindiket itu menjalankan kegiatan haram bagi pasaran di China dan wang yang ditemui itu adalah hasil dari melakukan aktiviti haram berkenaan. 


Kesemua suspek warga China yang ditahan itu juga dipercayai sudah dua bulan melakukan kegiatan itu dengan bantuan dari dua warga tempatan berperanan sebagai koordinator kepada sindiket tersebut termasuk mencari rumah untuk dijadikan sebagai pusat operasi kegiatan haram berkenaan. 


"Kami percaya, banyak pusat panggilan seumpama ini di sini (Malaysia) yang menjalankan kegiatan haram dengan pasaran di China termasuk aktiviti penipuan seperti Macau Scam," katanya. 


Dalam dua serbuan berasingan itu, polis merampas lima komputer riba, dua tablet, 24 telefon bimbit dan sejumlah dadah sintetik selain wang tunai RM2.5 juta. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 372b Kanun Keseksaan bagi kesalah mempromosikan kegiatan pelacuran dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/63.


: Harian Metro, Info Road JPJ/POLIS

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts