by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Hindraf mendesak polis menahan Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina dan menimbulkan kebencian terhadap masyarakat beragama Hindu.
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy berkata, post terbaru Asri itu secara terang-terangan menghina agama Hindu.
“Dia sebut menyembah lembu. Status itu secara terang-terangan berkait dengan Dr Zakir Naik. Dia menghasut masyarakat Islam dengan menimbulkan kebencian terhadap masyarakat Hindu.
“Seharusnya polis memberkas Asri dan menyiasat dia untuk kesalahan menghasut dan menimbulkan ketegangan antara masyarakat pelbagai agama di Malaysia,” katanya
Beliau mengulas kenyataan Asri di Facebooknya yang menyelar golongan “mempertuhankan lembu” kerana menentang seorang “pendakwah”.
“Apabila yang mempertuhankan lembu bersatu, lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu,” Asri memulakan catatan ringkas yang disifatkannya “puisi pagi Jumaat”.
Walaupun tidak menamakan individu dimaksudkannya, mufti Perlis itu pernah mempertahankan pendakwah kontroversi dari India, Zakir yang dikecam beberapa NGO bukan Islam, termasuk Hindraf.