Hishammuddin Lawat Mangsa Nahas Pesawat TUDM Di HAT

by Oh! Semput


10
SHARES
134
VIEWS
Posted on 22 Dec 2016 10:00:53

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini melawat seorang daripada pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang cedera dalam nahas pesawat Beechcraft B-200T milik TUDM di Pangkalan Udara Butterworth petang semalam.

Hishammuddin tiba di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini pada kira-kira 2 petang dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melihat keadaan Left Hamdi Ahmad Hanafi, 26, yang dipindahkan ke HAT Tuanku Mizan selepas menerima rawatan awal di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang sejurus kejadian itu semalam.

Difahamkan, Hamdi yang berasal dari Beranang, Selangor mengalami kecederaan dalaman akibat kemalangan terbabit.

Hishammuddin kemudian turut berjumpa dengan anggota keluarga Hamdi termasuk ibu bapa dan isterinya yang berada di wad.

“Saya lihat semangat Hamdi sangat kuat walaupun telah melalui saat sangat mengerikan dan ia wajar dijadikan contoh kepada semua anggota tentera termasuk diri saya sendiri dalam memikul tanggungjawab demi tanah air dan bangsa.

“Ia merupakan salah satu pengorbanan yang tinggi sebagai anggota tentera,” kata Hishammuddin ketika ditemui pemberita.

Dalam kejadian petang semalam, sebuah pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Kejadian pada 5.18 petang itu mengorbankan juruterbang TUDM Mejar C. Kayamboo manakala tiga anggota lain cedera termasuk Hamdi.

Dua lagi yang cedera ialah Kapt Wai Lik, 26, berasal dari Mentakab, Pahang dan Sarjan U Mohd Sofi Azizan, 29, berasal dari Sik, Kedah telah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts