by Oh! Semput
Huawei sedia melakukan pelaburan dan pembangunan melibatkan kecerdasan buatan, dan melalui forum yang diadakan baru-baru ini, Huawei berkongsi sasaran, menyatakan menjelang 2035 kelak, ejen AI akan menggunakan lebih 90% token untuk penggunaan AI. Ini sekaligus akan memerlukan sokongan dari segi infrastruktur dan juga kuasa perkomputeran dalam memastikan ia berjalan dengan lancar.
Pada hari ini sendiri, pelbagai syarikat berasaskan AI telah mengubah kaedah pengiraan penggunaan AI berasaskan kepada token. Dengan model yang lebih berkuasa, ia menggunakan token lebih banyak dalam menghasilkan sesuatu hasil atau jawapan.

Ledakan penggunaan ejen AI dijangka akan membantu dalam mengautomasikan sejumlah tugasan. Beberapa pihak sedia menawarkan perkhidmatan mereka kepada orang awam, termasuk Google melalui Gemini Spark, dan Meta melalui Muse (terhad untuk pengguna Amerika Syarikat). Dengan mengautomasikan sejumlah perkara, dan dengan model AI yang lebih pintar, ia dijangka akan dapat melakukan pelbagai tugasan secara automatik – membawa kepada penggunaan token AI lebih banyak oleh ejen-ejen AI ini.
Pada perkongsian sama juga, Huawei menyasarkan terdapat lebih 900 billion ejen AI menjelang 2035 yang berfungsi secara aktif, memperlihatkan ejen AI akan berjumlah 100 kali ganda berbanding populasi manusia ketika itu.