by Oh! Semput
PELUANG untuk terbang ke angkasa lepas semestinya mimpi menjadi kenyataan untuk kebanyakan orang, namun bagi lelaki yang bakal menjadi angkasawan Muslim pertama United Kingdom (UK) ini, niatnya cuma satu: untuk menabur bakti kepada masyarakat.
Hussain Manawer,25, daripada Ilford, Essex, dijadualkan untuk berlepas pada tahun 2018 selepas mengalahkan ribuan peserta daripada 90 buah negara dalam satu pertandingan.
Penyajak, penyelia dana amal dan pemilik agensi kreatif itu mendedikasikan kemenangannya kepada mereka yang menghidap penyakit mental dan mengatakan bahawa dia mempunyai misi penting dalam hidup untuk direalisasikan.
“Terbang ke angkasa lepas bukanlah sebahagian daripada cita-cita saya, namun saya merasakan seperti saya belum memberikan sumbangan kepada dunia,” kata Hussain.
“Pada satu masa saya rasakan manusia telah terlalu banyak mendatangkan kehancuran dalam pelbagai bentuk dan cara kepada dunia. Bila saya tersedar akan pertamdingan tersebut, saya fikir: saya akan ambil bahagian dan lihat apa yang akan berlaku.
“Seseorang itu harus menjadi popular untuk diambil secara serius dan mencetuskan impak kepada orang lain,” katanya lagi.

Dalam video pitchingnya, Hussain mengetengahkan isu kesihatan mental dengan membacakan sajak tentang tekanan perasaan dan mencederakan diri sendiri, sambil mengeluh,“Saya memang tak ditakdirkan untuk berada di Bumi ini.”
Pada Mac depan, beliau akan cuba untuk memecahkan rekod dunia dalam penyertaan peserta terbesar dalam kelas tentang kesihatan mental bagi 1000 orang pelajar daripada 30 buah sekolah, di Hackney Empire di London.
Hussain juga mempunyai saluran YouTube kepunyaannya sendiri bernama Hussain’s House yang telah menemubual ramai personaliti popular seperti pelawak Kevin Hart, penyanyi rap G-Eazy dan DJ radio Charlamagne.
Katanya, beliau melihat pertandingan untuk diterbangkan 100km melepasi atmosfera dalam kapal angkasa Lynx milik XCOR Aerospace itu sebagai cara untuk membawa kempennya ke tahap yang lain. Pertandingan itu telah diadakan dengan kerjasama One Young World, sebuah platform untuk 18- 30 tahun yang disokong oleh orang-orang ternama seperti Kofi Annan.
Di samping itu, Hussain juga menjadi wakil kepada komuniti Muslim di masa terdapat kepincangan dalam kefahaman tentang agama Islam.
Bahkan, dalam ucapan kemenangannya, Hussain telah mengumumkan:“Nama saya Hussain, dan saya bukan seorang pengganas”, meminjam bait dialog daripada filem Bollywood, My Name Is Khan.-MYNEWSHUB.CC