12.12 Shopee Voucher

Impak muzik yuna

by Oh! Semput


HOME Posted on 22 Nov 2020 14:30:16



HAMPIR sedekad membina nama di pentas antarabangsa, Yuna sudah mampu menarik nafas lega apabila perjalanan kerjaya muziknya di Amerika Syarikat (AS) terus mendapat maklum balas positif.

Lebih mengujakan, wajah penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Dan Sebenarnya itu pernah terpampang di lokasi ikonik, Times Square di New York selepas dipilih syarikat terkenal NASDAQ yang memaparkan ikon muzik pada November 2016.

Malah, tahun lalu sebuah papan iklan lampu diod pancaran cahaya (LED) di lokasi sama turut memaparkan wajahnya bersempena pelancaran album Rouge dan terbaharu fotonya terus menghiasi papan iklan gergasi di beberapa kawasan sekitar New York untuk kempen meraikan rakyat Asia anjuran platform penstriman popular, Spotify sekitar Mei lalu.

Tidak hanya itu, pelbagai kejayaan demi kejayaan lain diraih Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai sepanjang membina karier di AS.

Yuna bersyukur apabila bakat seninya terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

"Banyak cabaran yang perlu saya depani dalam tempoh 10 tahun ini. Bukan mudah nak bersaing dengan penyanyi wanita di AS kerana ada saja penyanyi baharu yang muncul.

"Sebagai wanita saya perlu jadi kuat dan pastikan saya mempunyai keunikan tersendiri dalam setiap lagu yang diperkenalkan. Saya juga selalu akan pastikan bahawa setiap idea yang saya kongsikan memberi impak kepada muzik industri di sana," katanya ketika sesi temu bual secara maya sempena Kotex #SHECAN Fund X Yuna.

Siapa sangka, diam tak diam sudah hampir 10 tahun Yuna mengembangkan bakat seninya dan tidak menyangka macam-macam pengalaman dan ilmu baharu ditimbanya.

Ditanya bagaimana dia berhadapan kecaman atau kritikan netizen, Yuna berkata, dia belum sampai tahap ada peminat fanatik yang mempertikaikan kehadirannya.

KARYA punyai keunikan tersendiri.
KARYA punyai keunikan tersendiri.

"Alhamdulillah tiada komen negatif membabitkan isu perkauman diterima walaupun ada sesetengah tempat yang sebegitu. Tapi, sepanjang bekerjasama dengan produksi di AS saya dilayan sama rata.

"Tiada diskriminasi atau berhadapan situasi produser di AS tidak mahu bekerja dengan saya disebabkan isu kaum, agama atau apa saja. Mereka terima saya seadanya, malah memuji kehadiran saya.

"Setakat kecaman satu atau dua komen itu mungkin ada, tapi saya tidak ambil perhatian. Cuma mungkin ada komen mengenai cara pemakaian saya, tapi itu bukan satu isu besar. Apa yang penting adalah saya fokus dengan muzik," katanya.

Melalui bermacam-macam perkara dalam hidup, barangkali ramai yang memuji sikap keberanian Yuna yang sentiasa mencuba perkara baharu dan tidak mengenal erti putus asa.

Baginya, dia selalu menolak tepi mengenai pandangan orang terhadap perkara baik yang ingin dibuat dan keberanian perlu sentiasa ditanam dalam diri.

"Mencari keberanian dalam diri tiada jalan pintas. Kita perlu sentiasa yakin dengan diri sendiri dan usaha semampu boleh. Setiap orang kena cuba benda baharu dan sebagai wanita Asia khususnya kita kadangkala rasa takut dengan apa orang nak kata tentang diri kita.

"Bagi saya, itu adalah perkara yang orang kita kena ketepikan sekejap, tapi fikir macam mana kita nak buat sesuatu yang besar dan baik. Jangan rasa takut atau fikir mengenai identiti anda sebagai wanita Asia, sebaliknya anda perlu yakin dengan diri sendiri.

"Cuba ambil langkah pertama kerana kebanyakan daripada kita ada idea, tapi berhenti setengah jalan sebab takut dengan pandangan orang. Sikap itu perlu diubah dan tak salah mencuba sesuatu perkara baharu. Bayangkan saya sendiri tak pernah terfikir yang wajah saya akan terpampang di papan iklan di New York. Apa yang penting, kita mulakan dari bawah dan usaha secara perlahan-lahan. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit," katanya.

Yuna yang sudah berada di tanah air sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu belum merancang untuk kembali ke Los Angeles.

Katanya, dia akan kembali ke AS sebaik situasi Covid-19 kembali reda di negara terbabit.

"Sebenarnya saya sudah berada di sini sejak Mac lalu. Kebetulan saya pulang ke tanah air untuk urusan kerja bersama suami, tapi tak sangka pula tiba-tiba PKP dilaksanakan.

"Namun, saya okey saja kerana sekurang-kurangnya dapat luangkan masa bersama keluarga. Saya mungkin akan kembali ke AS selepas keadaan sudah semakin pulih. Lagipun jumlah kes positif Covid-19 di sana sekarang ini semakin meningkat. Tunggu bila masa betul-betul sesuai. Mungkin tahun depan baharu saya ke Los Angeles semula," katanya.

Menurut Yuna, walaupun aktiviti seninya sedikit terbantut apabila masih berada di sini, namun dia bersyukur dapat menyiapkan beberapa lagu.

"Sekarang ini semua aktiviti seni membabitkan artis di AS dan Malaysia terkesan dengan pandemik ini. Namun, saya bersyukur masih dapat menghasilkan beberapa lagu dan proses rakaman dilakukan di rumah ketika PKP.

FOKUS dengan muzik.
FOKUS dengan muzik.

"Sepanjang berada di rumah juga saya melakukan perbincangan dengan produser di AS melalui aplikasi mesyuarat maya. Walaupun ada banyak halangan, tapi kalau saya berada di sana sekarang ini pun proses terbabit bukan mudah jika melihat keadaan di negara itu berbanding di Malaysia, kita lebih stabil," katanya.

Bercerita mengenai kerjasama dengan jenama Kotex #SHECAN Fund X Yuna, Yuna berkata, kempen itu diadakan sempena sambutan 100 tahun kemajuan wanita.

#SHECAN Fund ini ditubuhkan oleh Kotex dengan tujuan untuk memberi inspirasi kepada wanita dan memberikan mereka platform untuk menjadikan cita-cita mereka sebuah realiti, bukan sahaja untuk memperkaya kehidupan mereka, tetapi mereka yang berada di sekelilingnya.

"Saya ingin mengajak peminat saya untuk turut serta dalam penganjuran ini. Saya melihat penganjuran #SHECan Fund ini sebagai satu inisiatif untuk mencari bakat baharu dan menaikkan

industri seni kreatif. Saya berharap ramai generasi muda akan mengambil bahagian dan suka untuk saya bersama anda dalam satu sesi santai untuk memberi semangat kepada anda ceburi bidang muzik," katanya.

12.12 Birthday Sale 2020

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News