Taj Izrin Hadiahkan Emas Kedua Malaysia Di Sukan Asia 2026

by Oh! Semput


4
SHARES
53
VIEWS
Posted on 23 Sep 2026 11:30:46

Atlet e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira, mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas acara Gran Turismo 7 pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi Sky Expo, Jepun, hari ini.

Kejayaan pelumba berusia 27 tahun itu bukan sahaja menghadiahkan emas kedua buat kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan, malah menjadi pingat emas pertama negara dalam sejarah penyertaan e-sukan di Sukan Asia.

Taj Izrin mengumpul 36 mata selepas mengharungi tiga perlumbaan dengan prestasi konsisten. Beliau membuka saingan dengan menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pertama sebelum mengulangi keputusan sama pada perlumbaan kedua.

Kedudukan tersebut menyebabkan persaingan kejuaraan kekal terbuka menjelang perlumbaan terakhir apabila Taj Izrin mengumpul 16 mata dan terikat dengan pelumba tuan rumah Jepun, Ryota Kokubun.

Dalam perlumbaan ketiga yang menjadi penentu, Taj Izrin tampil lebih agresif dan bijak mengatur strategi sepanjang 17 pusingan. Beliau akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan kelebihan lebih empat saat berbanding pencabar terdekat.

Kemenangan itu membolehkannya memperoleh tambahan 20 mata untuk melengkapkan kutipan keseluruhan 36 mata dan mengesahkan kejuaraan Gran Turismo 7.

Pingat perak menjadi milik wakil Arab Saudi, Naif Al Faleh dengan 25 mata, manakala pelumba Korea Selatan, Kim Young Chan, meraih gangsa dengan jumlah mata yang sama.

Sebagai penghargaan atas kejayaan tersebut, Taj Izrin turut menerima ganjaran tambahan RM20,000 yang diumumkan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bagi atlet atau kontinjen e-sukan negara yang berjaya meraih emas di Aichi-Nagoya 2026.

Pencapaian itu turut memperbaiki rekod terbaik e-sukan Malaysia di Sukan Asia sebelum ini, apabila negara pernah meraih pingat perak menerusi Arena of Valor dan gangsa dalam acara Dota 2 pada edisi Hangzhou 2022.

Kemenangan Taj Izrin sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting buat perkembangan e-sukan Malaysia di pentas Asia, selain menunjukkan persaingan e-sukan kini semakin mendapat tempat dalam temasya sukan berprestij tersebut.

Taj Izrin Hadiahkan Emas Kedua Malaysia Di Sukan Asia 2026 first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts