Jangan jadi mangsa desas-desus atau propaganda antivaksin

by Oh! Semput


HOME Posted on 23 Feb 2021 18:00:37



BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Penyebab kematian paling biasa bagi individu berusia 65 tahun dan ke atas di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sama dengan apa yang berlaku di negara ini.

AS melaporkan kadar kematian bagi individu berusia 65 tahun dan lebih tua pada 2019 adalah 3,917 per 100,000 penduduk (1,765 per 100,000 untuk mereka yang berumur 65-74 tahun, 4,308 untuk 75-84 tahun dan 13,229 untuk 85 tahun ke atas).

Sekiranya maklumat ini diterjemahkan kepada populasi kita (data proksi), ini bermaksud bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun atau lebih, hampir 4,000 orang akan meninggal dunia setiap tahun (kadar akan lebih tinggi jika semakin berusia).

“Ini bersamaan dengan 75 kematian setiap minggu bagi setiap 100,000 individu yang berumur 65 tahun ke atas. Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa 7.1 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas, iaitu 2.34 juta orang.

“Ini bermakna akan ada 1,755 kematian yang dijangka setiap minggu bagi rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas, tanpa vaksinasi COVID-19. Ini adalah jangkaan kematian ‘garis dasar’ setiap minggu.

“Oleh itu, jika kita memberikan vaksinasi COVID-19 kepada 100,000 rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas, kita boleh menjangkakan sekurang-kurangnya 75 daripadanya akan meninggal dunia selepas tujuh hari akibat penyakit lain seperti serangan jantung atau strok,” kata pakar dan pengamal perubatan dalam artikel yang disiarkan The Star, hari ini.

Kenyataan bersama itu ditulis oleh Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Amar Singh HSS; Pakar Perunding Haematologi, Dr Lim Joo Kiong; Pakar Perunding Bedah, Dr Lim Joo Kiong; Pakar Perunding Endokrinologi, Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin dan Pengamal Perubatan, Datin Dr Lim Swee Im.

“Tidak akan berlaku kematian kerana vaksin, tetapi jangkaan kematian akibat penyakit lain. Namun kerana vaksin COVID-19 telah diberi, beberapa individu kemudian boleh mendakwa kematian itu disebabkan oleh vaksinasi dan mendorong lobi anti-vaksin,” kata artikel itu.

Katanya lagi, pada masa ini, satu-satunya kesan sampingan yang serius adalah reaksi alergi yang teruk (anafilaksis) yang berlaku antara 4 hingga 11 kes daripada satu juta dos.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau semua kejadian tersebut setelah vaksinasi dan akan mencari bukti adanya kaitan antara vaksin dengan hasil buruk.

“Kita hanya perlu khuatir jika kadar kematian meningkat jauh di atas kadar asas.

“Penting bagi orang ramai untuk memahami perkara ini tatkala kita memulakan program vaksinasi COVID-19 kebangsaan kita. Sebahagian orang yang kita sayang mungkin meninggal dunia selepas vaksinasi tetapi ini kemungkinan tidak disebabkan oleh vaksinasi.

“Sebagai orang awam, kita harus terus mengikuti ilmu dan data yang muncul dan tidak menjadi mangsa desas-desus atau propaganda antivaksin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News