12.12 Shopee Voucher

EPL 2020/21: Jaringan Penalti Bruno Fernandes Selamatkan Man Utd, Menang 1-0 Bertemu WBA

by Oh! Semput


HOME Posted on 22 Nov 2020 12:02:13



Manchester United berjaya memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas menundukkan West Bromwich Albion (WBA) 1-0 pada aksi yang berlangsung di Old Trafford, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut bermakna skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu kini melonjak ke tangga kesembilan hasil empat kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini.

Berdepan lawan yang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan, Manchester United tampil dengan garang apabila mendominasi permainan sejak dari awal dan lebih banyak mencipta gerakan berbahaya ke kubu lawan.

Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol skuad pelawat, Sam Johnstone dalam menafikan enam percubaan dijelmakan menghalang United untuk mencatatkan kemenangan yang lebih besar pada perlawanan ini.

Manchester United bermula dengan garang seawal minit kedua apabila sepakan percuma Bruno Fernandes ditanduk Anthony Martial ke arah pintu gol WBA tetapi Johnstone bertindak cemerlang menggagalkan usaha tersebut.

Martial sekali lagi terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan selepas percubaan ‘placing’ dilakukannya dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan daripada Fernandes turut ditepis keluar penjaga gol kelahiran Preston itu.

Meskipun menghadapi kesukaran untuk mengawal permainan,WBA masih mampu untuk menguji gawang United yang dikawal David De Gea. Salah satu peluang yang dimiliki anak buah Slaven Bilic itu ialah pada minit ke-20 apabila percubaan Karlan Grant dalam kawasan penalti berjaya dihalang De Gea.

Tandukan ketua pasukan, Kyle Bartley ketika situasi sepakan sudut juga hanya sedikit melewati palang gol pada minit ke-42.

Pasukan pelawat mendapat sepakan penalti pada minit ke-47 susulan kekasaran Bruno Fernandes terhadap Conor Gallagher, tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) menyaksikan sepakan tersebut tidak disahkan.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat juang para pemain WBA yang hampir membuka tirai jaringan, namun percubaan jarak dekat Conor Townsend dinafikan De Gea bagi menyelamatkan keadaan.

Manchester United kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, David Coote berikutan bola terkena tangan Darnell Furlong. Fernandes yang pada mulanya hampa susulan sepakannya ditepis Johnstone, menarik nafas lega apabila penjaga gol itu didakwa keluar lebih awal sebelum sepakan diambil.

Peluang  buat kali kedua tidak disia-siakan oleh Fernandes untuk menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ke-56 sekali gus memisahkan kedudukan buat kedua-dua pasukan.

Aksi selepas itu semakin menarik dengan percubaan Callum Robinson dalam kawasan penalti pada minit ke-65 terkena palang walaupun De Gea sudah pun tertewas. Percubaan jarak dekat Marcus Rashford dan Harry Maguire dalam tempoh empat minit pula digagalkan oleh Johnstone.

Jaringan tunggal Bruno Fernandes itu kekal hingga tamat perlawanan untuk Manchester United menamatkan perlawanan dengan tiga mata berharga.

Kredit featured image: Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images

12.12 Birthday Sale 2020

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News