Baja: Jenis, Penggunaan dan Kesan Sampingan

by Oh! Semput


27
SHARES
348
VIEWS
Posted on 10 Nov 2020 08:00:10

Menurut kamus dewan edisi keempat, baja ialah bahan yang mengandungi zat seperti nitrogen, fosforus dan kalium yang dihasilkan secara semula jadi atau buatan bertujuan untuk menyuburkan tanaman. Terdapat dua jenis baja yang utama iaitu baja organik dan baja bukan organik.

Jenis Baja

1. Baja organik

Baja organik juga dikenali sebagai baja asli atau baja alam. Ia adalah baja yang terhasil daripada tahi binatang dan tumbuh-tumbuhan yang sudah reput. Baja daripada sumber mineral juga dikatakan sebagai baja organik seperti kapur pertanian dan garam Epsom. Baja organik dengan atau tanpa penambahan baja mineral dapat dibahagikan kepada empat kumpulan sumber iaitu:

  1. Baja berasaskan gambut (peat): gambut, kompos kayu dan lignit.
  2. Baja organik dari sumber binatang: kompos tinja, tanduk, serbuk tulang, serbuk darah, baja cecair ikan, mil bulu pelepah, mil belulang dan guano (tahi burung laut atau kelawar yang dikeringkan dan digunakan sebagai baja).
  3. Baja organik dari sumber tumbuh-tumbuhan:  kompos tumbuhan seperti alfalfa, biji kapas, gluten jagung, rumpai laut, dan sisa buangan ataupun keluaran sampingan industri makanan seperti hampas bijirin, sisa koko, sisa pembiran, vinasse (molasses), pulpa, sesawi dan sisa kanji.
  4. Baja dari sumber sisa bandaran: Enap cemar kumbahan, biogen dan kompos kebun.

Baja Kompos Tinja

Baja kompos tinja binatang terbahagi kepada empat jenis iaitu baja berbentuk pepejal (solid manure), cecair (liquid manure), buburan tinja (slurry) dan baja kering (dry manure). Baja pepejal biasanya terdiri daripada tinja haiwan, urin dan alas baja seperti jerami. Baja cecair pula adalah urin haiwan. Slurry adalah campuran tahi dan urin serta air.

Vermikompos

Vermikompos adalah antara lain contoh baja organik yang terbaik di dunia masa kini selain empat kumpulan sumber di atas. Baja vermikompos dapat meningkatkan produktiviti tanaman dengan meningkatkan tahap kesuburan tanah. Vermikompos adalah bahan organik yang terhasil daripada proses atau aktiviti mikrob dan cacing tanah ke atas bahan organik mentah seperti sisa pertanian (contoh: jerami padi) yang membantu dalam proses pereputan dan menjadi kompos.  Sebahagian sisa pertanian ini akan dimakan oleh cacing tanah dan dikeluarkan sebagai tahi cacing atau vermikas.

Vermikas adalah agregat-agregat kecil yang baik untuk membaiki struktur tanah, selain mengandungi pelbagai jenis hormone dan enzim yang dikeluarkan oleh bakteria didalam perut cacing yang baik utk tumbesaran pokok. Vermikompos lebih baik daripada kompos kerana kandungan bakteria yang pelbagai dan banyak, yang membantu tumbesaran pokok.

Terdapat tiga jenis cacing tanah yang sesuai untuk menghasilkan vermikompos seperti Epigeic (litter dweller), Endogeic (subsoil dweller) dan Anecic (top soil dweller). Walau bagaimanapun, jenis cacing tanah yang biasa dignakan untuk vermikompos adalah Brandling worm (Eisenia foetida) dan Redworm/Red wigglers (Lumbricus rubellus). Kandungan nitrogen, kalsium, magnesium dan fosfat adalah tinggi di dalam tanah yang mengandungi cacing tanah dan ini adalah baik untuk tumbesaran pokok.

Penghasilan baja organik masa kini memerlukan kos yang mahal. Disamping itu, kesan penggunaan adalah perlahan dengan kadar pengagihan nutrien ke dalam tanah  dan kawasan penanaman adalah tidak sekata.  Oleh itu penggunaan baja tidak organik semakin banyak di ladang penanaman yang berskala besar.

2. Baja bukan organik

Baja bukan organik adalah baja yang dibuat daripada atau yang menggunakan bahan bahan kimia. Beberapa nama dapat merujuk kepada baja bukan organik seperti baja kimia, baja buatan, baja tiruan dan baja sintetik. Terdapat tiga jenis baja kimia di pasaran seperti:

  1. Baja tunggal/terus (single dressing fertilizer): Baja yang mengandungi salah satu zat sama ada nitrogen, fosforus atau kalium.
  2. Baja campuran (compound fertilizer): Baja yang terdiri daripada dua atau lebih zat (nitrogen, fosforus dan kalium) yang dicampurkan secara fizikal untuk memperoleh gabungan zat yang dikehendaki.
  3. Baja sebatian: Baja yang mengandungi dua atau tiga zat (nitrogen, fosforus dan kalium) yang dihasilkan melalui proses kimia.

Penggunaan baja

Walaupun kesan penggunaan baja organik adalah agak lambat berbanding baja kimia, masih ramai pengusaha ladang atau kebun memilih untuk menggunakan baja organik kerana manfaat yang diperoleh. Antara manfaat jangka panjang penggunaan baja organik ialah ia mampu meningkatkan kandungan karbon tanah disamping meningkatkan kesuburan tanah.

Kandungan nutrien, kelarutan dan pelepasan nutrien dalam baja organik juga adalah sederhana jika dibandingkan dengan baja kimia. Kebanyakan kandungan nitrogen dalam baja organik adalah bersifat tidak larut. Oleh itu, bekalan nitrogen kepada tumbuhan akan dilepaskan kedalam tanah untuk keperluan tumbuh-tumbuhan secara pelepasan perlahan. Ini sangat berguna untuk memastikan kecukupan atau keberadaan bekalan nitrogen kepada pokok setiap masa walaupun kesannya adalah perlahan. Secara tidak langsung, baja organik dapat meningkatkan kadar simpanan nutrien dalam tanah dan mengurangkan risiko terlebih baja.

Baja organik juga mampu memberi manfaat yang tinggi kepada tumbesaran pokok dengan peranan humus dan komponen organik tanah yang lain. Hubungan ekologi antara tumbuhan, tanah dan alam sekitar dapat membantu menyeragamkan pengagihan nutrien ke dalam tanah supaya pokok dapat tumbuh dengan baik walaupun dengan kepadatan nutrient yang rendah. Kadar pembebasan atau pelepasan nutrien yang perlahan dan konsisten juga mampu mengelakkan kejutan kepada tumbuhan. Selain itu, penggunaan baja organik dapat membantu mengekalkan kelembapan tanah, memperbaiki struktur tanah disamping mencegah hakisan pada tanah atas.

Komposisi baja organik adalah lebih kompleks dan berbeza berbanding baja kimia standard kerana ia bergantung kepada  sumber baja organik itu seperti pemakanan haiwan yang menghasilkan tinja untuk tujuan penghasilan baja. Pemprosesan baja organik juga harus dilakukan dengan teliti dan mengikut panduan khusus untuk mengelakkan baja mengandungi patogen daripada pokok atau haiwan yang boleh mendatangkan keburukan kepada manusia dan pokok.

Penggunaan baja kimia adalah menjadi pilihan pengusahan tanaman secara besar besaran kerana mempunyai kesan yang cepat, murah dan kandungan nutrien yang tetap. Namun baja kimia perlu digunakan dengan sukatan yang betul dan masa yang sesuai agar tidak mendatangkan mudarat kepada tumbuhan dan alam sekitar.

Kesan sampingan terlebih penggunaan

 Kesan penggunaan baja organik secara berlebihan kepada pokok atau tanaman tidak dilaporkan tetapi ini mendatangkan pembaziran kepada sumber. Namun dilaporkan bahawa penggunaan baja organik sahaja pada pokok dapat tanpa baja lain dapat menghalang pengasidan tanah berlaku.

Namun, penggunaan baja kimia seperti NPK secara berterusan selama 20 tahun telah dilaporkan boleh menyebabkan pH tanah menurun (pengasidan tanah) yang tidak sesuai untuk tumbesaran pokok.  Selain itu penggunaan baja kimia dalam jangka masa yang panjang mengakibatkan kualiti tanah dan hasil tanaman merosot. Namun kajian di China mendapati walaupun penggunaan baja NPK (kimia) didapati boleh menurunkan pH tanah dgn kadar 0.07 setahun, namun dengan penggunaan bersama dengan baja organik yang dapat meningkatkan pH tanah dengan kadar 0.04, justeru ia dapat memastikan tanah kekal subur.

Oleh itu mereka menyarankan penggunaan kedua dua jenis baja ini untuk menghalang pengasidan tanah berlaku dan meningkatkan hasil tanaman. Ini kerana, penggunaan baja kimia dan baja organik dalam jangkamasa yang lama terbukti dapat meningkatkan jerami dan hasil bijiran seperti gandum dan jagung. Dilaporkan juga bahawa jumlah kandungan karbon organik tanih meningkat dengan penggunaan kedua dua jenis baja yang dilaporkan.

Namun, masalah alam sekitar akan berlaku sekiranya penggunaan baja adalah tidak terkawal. Masalah akan berlaku sekiranya penggunaan baja adalah pada masa yang tidak sesuai terutama apabila tumbuhan tidak memerlukan baja, baja digunakan secara terlebih, ataupun baja tidak diserap terus ke dalam tanah selepas proses pembajaan. Akibat yang bakal berlaku adalah seperti:

  1. Kehilangan nitrat kerana proses larut lesap (leaching) berlaku selepas proses nitrifikasi atau mineralization.
  2. Kehilangan ammonia daripada permukaan tanah atau tumbuh tumbuhan.
  3. Kehilangan kalium (Potassium) akibat proses larut lesap pada tanah ringan.
  4. Pengumpulan fosforus pada bahagian tanah atas dan subtanah, larut lesap fosforus dari tanah gambut.

Kesan paling utama penggunaan baja kimia yang berlebihan adalah menjejaskan kesuburan tanah dan meningkatkan kematian hidupan akuatik sekiranya ladang adalah berdekatan dengan sumber air. Proses eutrofikasi juga bakal berlaku yang disebabkan oleh pembajaan berlebihan.

Pembajaan berlebihan juga dapat mendatang kesan mudarat kepada hidupan tanah seperti ekosistem tanah terganggu yang juga mungkin penyebab kematian kepada mikrob atau hidupan dalam tanah. Penggunaan baja kimia secara berlebihan juga boleh mengakibatkan peningkatan pemeruapan ammonia sekiranya baja tidak diserap kedalam tanah sejurus selepas proses pembajaan. Pemeruapan ammonia akan mengakibatkan kerugian kepada petani kerana ia hilang begitu sahaja dan tidak dapat diserap oleh akar pokok untuk tumbesaran.

Jenis, penggunaan dan kesan pembajaan haruslah difahami oleh pengusaha ladang sebelum apa apa penggunaan ke atas tumbuhan dilakukan agar ia tidak mendatangkan kerugian kepada ekosistem bumi dan juga kerugian kepada pengusaha.

Artikel berkaitan: Cara Buat Baja Organik

Rujukan:

  1. Kiiski, H., Dittmar, H., Drach, M., Vosskamp, R., Trenkel, M. E., Gutser, R., & Steffens, G. (2000). Fertilizers, 2. Types. Ullmann’s Encyclopedia of Industrial Chemistry, 1-53.
  2. Kothari, R., Verma, S., & Tyagi, V. V. (2012). Role of Various Vermicomposting Parameters in Green Sustainable Approach. In A.  Singh, R. P. (Ed). Organic  fertilizers: Types, production and environmental impact (85-96). Nova Science Publishers.
  3. Füleky, G., Benedek, S. (2012). Replenishing Soil Organic Matter With Organic Fertilisers. In A.  Singh, R. P. (Ed). Organic fertilizers: Types, production and environmental impact (47-62). Nova Science Publishers.
  4. Wang, H., Xu, J., Liu, X., Zhang, D., Li, L., Li, W., & Sheng, L. (2019). Effects of long-term application of organic fertilizer on improving organic matter content and retarding acidity in red soil from China. Soil and Tillage Research, 195, 104382.

Baja: Jenis, Penggunaan dan Kesan Sampingan Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts