by Oh! Semput
PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Iran Ebrahim Raisi di New York City pada Rabu.
Kedua-dua pemimpin membincangkan perjanjian nuklear Iran 2015, pembebasan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima ke laut dan perang Ukraine serta situasi di Timur Tengah dan Asia Timur, Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar Jepun.
Kishida memberitahu Raisi bahawa Jepun akan meneruskan usaha diplomatiknya untuk meredakan ketegangan dan menstabilkan keadaan Asia Barat berdasarkan hubungan mesra sejarah antara kedua-dua negara.
Iran berusaha untuk “mengembangkan hubungan dua hala antara Jepun dan Iran dalam pelbagai bidang,” kata Raisi.
Perdana menteri Jepun juga menekankan “kepentingan memastikan keselamatan maritim dan keselamatan pelayaran dan menjelaskan usaha Jepun dalam bidang itu.”
Kishida juga menjelaskan keputusan Jepun untuk melepaskan air radioaktif yang dirawat ke laut.
Kenyataan itu menjelaskan kedua-dua pemimpin “bertukar pandangan” mengenai situasi sekitar Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang ditandatangani 2015—perjanjian nuklear Iran.
“Jepun telah konsisten dalam menyokong JCPOA dan menyeru Iran untuk mengambil langkah membina termasuk pelaksanaan penuh dan tanpa syarat kenyataan bersama antara Iran dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” kata Kishida. – Bernama, 21 September, 2023.