Jerebu: Sekolah Di Empat Negeri, KL Dan Putrajaya Ditutup Pada Jumaat, 9 Oktober

by Oh! Semput


4
SHARES
51
VIEWS
Posted on 08 Oct 2026 18:00:44

Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup pada Jumaat, 9 Oktober, susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk.

Penutupan itu turut membabitkan sekolah di daerah Rompin, Pahang, manakala institusi pendidikan di negeri dan kawasan lain akan beroperasi seperti biasa mengikut takwim persekolahan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata keputusan berkenaan dibuat sebagai langkah memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah terus terpelihara ketika kualiti udara merosot.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya keadaan memerlukan.

Penutupan sekolah itu membabitkan institusi yang berada di kawasan dengan bacaan IPU tinggi, berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) akan dilaksanakan dengan mengambil kira kesediaan serta kemampuan murid dan guru.

Fadhlina turut mengakui keputusan menutup sekolah boleh memberi kesan kepada rutin harian ibu bapa, khususnya dari segi penjagaan dan pengurusan anak-anak.

Beliau berkata kementerian akan berusaha memastikan sebarang keputusan berkaitan penutupan sekolah dapat dimaklumkan lebih awal pada masa akan datang supaya ibu bapa mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan.

Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga diminta mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi sekolah, PPD dan JPN masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan berhubung status operasi sekolah.

KPM menegaskan aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan sepanjang keadaan jerebu berterusan.

Jerebu: Sekolah Di Empat Negeri, KL Dan Putrajaya Ditutup Pada Jumaat, 9 Oktober first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts