by Oh! Semput
Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika sedang mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.01 malam selepas mangsa disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa sedang mandi di bilik air rumah sebelum dipercayai tergelincir dan mengalami kecederaan.
“Mangsa kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat kanak-kanak itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz bagi menjalani bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Naazron berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan turut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sementara menunggu hasil siasatan serta laporan bedah siasat.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memastikan keselamatan anak-anak diberi perhatian, termasuk ketika berada di dalam rumah, memandangkan kemalangan domestik seperti tergelincir di bilik air boleh mengakibatkan kecederaan serius.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian kecemasan NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang sekiranya berlaku sebarang insiden yang memerlukan bantuan segera.
Kanak-Kanak 9 Tahun Meninggal Dunia Selepas Dipercayai Terjatuh Ketika Mandi first appeared on #1 The News Malaysia.